Oleh KAIROL ZULHAIDI
SEPANG: Seramai 18 orang jemaah umrah AlFajr Travel & Tours Sdn. Bhd. (AlFajr Travel & Tours) menjadi kumpulan pertama jemaah umrah dari Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah hari ini (Ahad, 17 Okt, 2021 waktu Malaysia) melalui penerbangan Saudi Airlines dengan kerjasama Muassasah Noor Hijjaz di bawah Kementerian Haji Arab Saudi.
Menurut Pengarah Urusan AlFajr Travel & Tours, Haji Osman Haji Ahmad, kumpulan pertama jemaah umrah dari Malaysia itu merupakan yang pertama dari Asia Tenggara bakal menunaikan ibadah umrah di Masjidil Haram dalam suasana pasca pandemik Covid-19.
“Alhamdulillah, ini merupakan satu kejayaan dan kebanggaan buat kita kerana perkara ini bukan sesuatu yang mudah disebabkan negara-negara lain dari Asia Tenggara belum lagi dibenarkan menunaikan umrah di Arab Saudi,” katanya ketika ditemui HarakahDaily di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.
Justeru, pihak AlFajr Travel & Tours mengucapkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan juga semua yang terlibat termasuklah pihak Saudi Airlines dan Muassasah Noor Hijazz kerana telah membuka ruang kepada umat Islam di Malaysia agar dapat kembali beribadah di kota suci Makkah.
“Setelah persiapan yang rapi dibuat sejak 45 hari yang lepas dan menunggu hampir 21 bulan, akhirnya kita dapat menunaikan ibadah umrah di Makkah.
“Harapan saya adalah mudah-mudahan setelah lama kita menunggu maka ini merupakan peluang untuk kita kembali menunaikan ibadah. Jadi, ia merupakan satu kebaikan kepada umat Islam,” ujarnya.
Menurutnya, para jemaah umrah tersebut yang menaiki pesawat dari KLIA petang semalam, disambut oleh pihak Muassasah di bawah Kementerian Haji Arab Saudi sebaik tiba di Jeddah hari ini.
“Rombongan ini terdiri daripada 18 orang jemaah Malaysia termasuk pengiring (mutawwif dan mutawwifah) dari AlFajr Travel & Tours dan insyaAllah, akan diikuti oleh kumpulan-kumpulan yang lain selepas ini. Para jemaah akan berada selama lima malam di Madinah dan lima malam di Makkah,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Osman berkata, dari segi prosedur operasi standard (SOP), para jemaah diwajibkan menjalani PCR Test dan lengkap dua dos vaksin. Setakat ini, hanya jemaah yang masing-masing lengkap dua vaksin Pfizer dan Astrazeneca dibenarkan, manakala bagi penerima vaksin Sinovac pula perlu mempunyai booster yang mana perkara tersebut masih dalam proses menunggu pengumuman daripada pihak kerajaan.
“Seramai 18 orang jemaah kumpulan pertama yang menggunakan visa umrah ini merupakan sebahagian daripada para jemaah dan pimpinan kita bertujuan bagi mengetahui SOP di Masjidil Haram sebelum kita meneruskan dengan kumpulan-kumpulan jemaah yang lain.
“Ini kerana banyak perkara perlu diketahui, berkaitan sistem SOP di sana lagi pun keadaan di sana berubah setiap hari,” ujarnya.
Sementara itu, beberapa jemaah yang ditemui di KLIA semalam melahirkan perasaan teruja dan tidak sabar untuk menunaikan ibadah umrah kali ini setelah berbagai-bagai dugaan terjadi ketika pandemik Covid-19 melanda.
Haji Redzuan Haji Abdul Wahit, 55, yang merupakan seorang mutawwif AlFajr Travel & Tours berkata, dia tidak menduga sama sekali terpilih untuk menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Makkah.
“Sebagai kumpulan pertama dari Malaysia yang bakal menunaikan umrah ini, saya amat teruja dan tidak menduga sama sekali menjadi antara jemaah dari kumpulan pertama yang dipanggil sebagai tetamu Allah untuk menunaikan ibadah umrah. Setakat ini, Saya sudah lebih 10 kali menjejaki Masjidil Haram,” katanya yang ditemani oleh isterinya, Fuziah Supiansani.
Sementara bagi Yusof Mohamed Rasip, 53, dari Batu Pahat, Johor pula mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana terpilih mengerjakan ibadah umrah kali ini.
Menurutnya, dia tidak menyangka terpilih menyertai jemaah pertama AlFajr Travel & Tours setelah hampir sebulan menunggu dan hari ini merupakan ketentuan Ilahi dapat ke Arab Saudi.
Dalam pada itu, seorang mutawwifah AlFajr Travel & Tours, Hajah Azimah Ayob, 60, yang merupakan seorang pesara guru berkata, dia telah bersama AlFajr Travel & Tours ini selama lebih kurang lapan tahun.
“Saya rasa begitu sebak kerana dapat menunaikan ibadah umrah pada kali ini dengan suasana di mana semua orang masih lagi mengharungi ancaman bahaya Covid-19. Perasaan berdebar-debar juga masih terasa, namun kita perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
“Apabila dikhabarkan tentang program rintis AlFajr Travel & Tours ini, saya agak sebak dan berdoa mudah-mudahan semuanya selamat dan dipermudahkan segala urusan para jemaah di Tanah Suci kali ini. Tidak dapat terbayangkan suasana di Tanah Suci yang sangat berbeza sehingga menitiskan air mata apabila mendengar azan di sana,” luahnya.
Katanya lagi, dia berharap agar dapat mempelajari dan meningkatkan lagi ilmu dan seterusnya dapat mengaplikasikan SOP yang dipraktikkan di Tanah Suci bagi membantu para jemaah yang lain dari Malaysia yang bakal menjejakkan kaki ke sana selepas ini. -HARAKAHDAILY 17/10/2021
Tiada ulasan:
Catat Ulasan