18 Oktober 2021

SOP fasa endemik akan diumum dalam masa terdekat, kata Hishammuddin

 

Hishammuddin Hussein berkata matlamat kerajaan ialah merangka SOP yang mudah difahami dan dipatuhi orang ramai. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Satu prosedur operasi standard (SOP) bagi menggantikan 181 SOP yang diguna pakai sebelum ini, serta garis panduan untuk fasa endemik akan dibentangkan perinciannya oleh Majlis Keselamatan Negara kepada Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 dalam masa terdekat, kata Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein.

Hishammuddin berkata, hasil perincian itu bakal menjadi satu SOP am yang boleh berkuat kuasa melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Katanya, perincian SOP dan garis panduan itu akan diumumkan selepas dibawa untuk perbincangan serta persetujuan pada peringkat jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

“Dalam peralihan daripada fasa pandemik kepada endemik, kerajaan akan memfokus satu SOP am yang berkaitan langkah tetap bagi mengawal penularan, seperti memakai pelitup muka, panduan pengudaraan, daftar masuk (check-in) MySejahtera, syarat lengkap vaksinasi dan lain-lain.

“Sembilan garis panduan terbabit pula merangkumi aktiviti dalam pelbagai sektor. Garis panduan berkenaan tidak boleh dikuatkuasakan, namun menjadi tanggungjawab rakyat untuk memahami dan mengamalkannya dengan sebaik mungkin,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Wisma Pertahanan, hari ini.

Hishammuddin berkata, sebaik saja SOP am dan garis panduan itu diumumkan nanti, rakyat perlu memainkan peranan bersama pihak berkuasa dengan mengelak daripada melakukan perkara yang boleh meningkatkan risiko jangkitan Covid-19.

“Ini selari dengan fokus ketiga perancangan kerajaan dalam menuju ke fasa endemik, iaitu pemerkasaan masyarakat. Dua lagi fokus ialah kawalan bersasar dan kesedaran terhadap virus,” katanya.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, pengurangan 181 SOP yang diguna pakai sebelum ini adalah seiring persediaan negara untuk #ReopeningSafely serta peralihan ke fasa endemik.

Katanya, matlamat kerajaan ialah merangka SOP yang mudah difahami dan dipatuhi orang ramai. Ia penting memandangkan pada fasa endemik kelak, hakikat yang harus diterima ialah kita perlu hidup bersama virus Covid-19.

“Ini bermakna virus berbahaya ini masih berada dalam persekitaran kita, sekali gus memerlukan orang ramai memahami dan kekal patuh kepada SOP,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak bersikap sambil lewa dalam memanfaatkan kelonggaran yang diberikan, selain terus mengukuhkan tindakan kesihatan awam kendiri melalui amalan TRIIS, iaitu test (ujian saringan), report (melaporkan), isolate (kuarantin atau pengasingan kendiri), inform (memaklumkan) dan seek (mendapatkan rawatan segera).

Dalam perkembangan lain, Hishamuddin berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan Ismail serta Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, bahawa kerajaan tidak menganiayai atau menzalimi mana-mana pihak.

Beliau berkata, dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 dan mengelakkan kemudaratan yang lebih, langkah diambil adalah untuk kepentingan banyak nyawa.

Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dari segi golongan enggan menerima vaksin tidak dapat menikmati kelonggaran sebagaimana diperoleh mereka yang lengkap vaksinasi.

FMt/-


Tiada ulasan: