17 Oktober 2021

Tiada kompromi 2,000 guru tak ambil vaksin

 DATUK Dr Radzi Jidin bersama tenaga pengajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Haji Abd Malek ,Cheng. FOTO Nazri Abu Bakar

DATUK Dr Radzi Jidin bersama tenaga pengajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Haji Abd Malek ,Cheng. FOTO Nazri Abu Bakar

Melaka: Guru yang tidak mahu divaksin kekal tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka walaupun sekolah bakal dibuka sepenuhnya kelak.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, setakat ini seramai 2,000 guru di seluruh negara direkodkan masih enggan mengambil suntikan vaksin berbanding 2,500 guru setakat 5 Oktober lalu.

Katanya, walaupun jumlah itu tidak besar berbanding lebih 415,000 keseluruhan guru yang ada namun kesannya kepada ekosistem dan operasi sekolah cukup besar.

"Sebagai contoh bagi golongan Murid Berkeperluan Khas (MBK), anak-anak istimewa ini perlu berada rapat dengan guru.

"Begitu juga kita ada keadaan di mana terdapat guru pra sekolah dan pembantu murid pra sekolah yang tidak mahu divaksinkan," katanya.

Menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah mengeluarkan kenyataan semua penjawat awam perlu mengambil vaksinasi sebelum 1 November.

"Sehubungan itu, guru terbabit perlu mengambil berat kenyataan JPA berkenaan. Apapun kami tidak akan berkompromi dengan perkara berkenaan.

"Jika perlu membawa keluar guru terbabit atau memindahkan mereka, ia akan dilakukan. Kita bukan mengugut tetapi ia perlu dilakukan kerana penting untuk operasi sekolah," katanya.

Sementara itu, Pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak akan menjejaskan sesi persekolahan yang berlangsung seandainya ia tetap diadakan dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun Kementerian Pendidikan (KPM) tetap menilai beberapa kaedah tertentu selepas pengumuman rasmi dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Apapun keputusan, kita boleh berbincang dan kita boleh permudahkan. Walaupun sekolah baru dibuka namun ada pendekatan lebih sesuai boleh digunakan," katanya selepas mengadakan lawatan persiapan pembukaan sekolah di Melaka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Haji Abd Malek di sini, tadi.

Hadir sama Exco Belia Negeri, Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohidden dan Pengarah Pendidikan Negeri, Mohd Azam Ahmad.

Dalam masa sama dia berpuas hati dengan prosedur operasi standard (SOP) di semua sekolah yang dilawati dengan persediaan rapi sudah dilakukan.

Namun aspek pengudaraan yang baik dan optimum menjadi penilaian terbaharu pihaknya selain penjarakan fizikal dan pelitup muka diwajibkan sebelum ini.

hmetro.

Tiada ulasan: