17 Oktober 2021

Keretapi laju bagi landasan China-Laos tiba di Vientiane

 Kereta api EMU secara rasmi dihantar ke Laos-China Railway Co. Ltd. iaitu sebuah usaha sama yang berpusat di ibu kota Laos, Vientiane. - Foto AGENSI

Kereta api EMU secara rasmi dihantar ke Laos-China Railway Co. Ltd. iaitu sebuah usaha sama yang berpusat di ibu kota Laos, Vientiane. - Foto AGENSI

VIENTIANE: Kereta api laju dari China atau kereta api elektrik pelbagai unit (EMU) bagi landasan China-Laos tiba di Stesen Landasan Vientiane yang baharu dibina, semalam.

Kereta api EMU secara rasmi dihantar ke Laos-China Railway Co. Ltd. iaitu sebuah usaha sama yang berpusat di ibu kota Laos, Vientiane yang bertanggungjawab dalam pembinaan dan operasi kereta api.

Upacara penyerahannya diadakan di stesen itu dengan kehadiran Duta Besar China ke Laos, Jiang Zaidong dan Menteri Kerja Raya dan Pengangkutan Laos, Viengsavath Siphandone.

EMU yang dinamakan Lane Xang akan diletakkan di landasan baharu itu bagi tujuan operasi percubaan.

Ia sebagai simbolik hubungan baik yang terjalin antara kedua-dua negara itu.

Zaidong dalam ucapannya berkata, kereta api moden yang diterima Laos adalah pertama kali dalam sejarah negara itu yang adalah kemajuan dalam pembinaan landasan kereta api China-Laos.

Katanya, ia juga menjadi pencapaian penting dalam menjayakan perjanjian Belt & Road selain strategi Laos untuk mentransformasikan negara itu sebagai hab jaringan di darat.

"Mengikut progres terkini pembinaan itu, ia disasarkan akan dibuka secara rasmi pada sambutan Hari Kebangsaan Laos pada 2 Disember ini dan kita akan bekerjasama dengan negara itu bagi merealisasikannya," katanya.

Pada masa sama Zaidong berkata, dengan operasi kereta api itu kelak, tempoh masa perjalanan dari Vientiane ke sempadan China-Laos akan dipendekkan dari dua hari menjadi tiga jam, manakala ke Kunming pula hanya mengambil masa satu malam.

Sementara itu, Siphandone pula berkata, rekaan dan pembuatan kereta api itu adalah bahagian penting dalam pembangunan landasan Laos-China yang dititikberatkan oleh kerajaan.

Malah katanya, Perdana Menteri, Phankham Viphavanh sendiri memberikan nama kereta api itu sementara Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Revolusi Rakyat, Thongloun Sisoulith pula mengaturkan pelan rekaan.

Kejayaan penghantaran EMU Lane Xang menandakan bermulanya operasi bagi landasan Laos-China dan berakhirnya tempoh pembinaan, sekali gus melambangkan negara itu menuju ke arah era baharu pengangkutan kereta api. - AGENSI

Tiada ulasan: