Riyadh: Solat subuh di Masjidil Haram di Makkah, hari ini berlangsung dalam kapasiti penuh jemaah dan tanpa penjarakan fizikal selepas Arab Saudi melonggarkan sekatan Covid-19.
Setiausaha Agung Hal Ehwal Masjidil Haram, Dr. Saad Mohamed Al-Muhaimid yang dilapor Arab News berkata, persediaan dibuat untuk pengoperasian penuh masjid itu dan dalam masa sama memastikan keselamatan semua jemaah terjamin.
Bagaimanapun, katanya, jemaah tetap perlu memakai pelitup muka ketika mengunjungi masjid suci itu dan mendaftar bagi umrah dan solat menerusi aplikasi Tawakkalna dan Eatmarna.
Malam semalam, pekerja penyelenggaraan mula menanggalkan pelekat jarak fizikal di lantai masjid, sekali gus menandakan berakhirnya fasa solat dengan jarak antara satu ke dua meter antara jemaah berikutan pandemik Covid-19.
Bermula hari ini, penjarakan fizikal bukan lagi mandatori dalam perhimpunan sosial atau di tempat awam di Arab Saudi, termasuk dalam pengangkutan awam dan di restoran, panggung wayang serta pusat beli belah.
Kelonggaran turut membabitkan pemakaian pelitup muka, yang mana ia tidak wajib kecuali di tempat tertentu termasuk dua masjid suci yakni, Masjidil Haram dan Masjid Nabawi di Madinah.
hmetro.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan