17 Oktober 2021

Tiada lagi penjarakan fizikal di Masjidil Haram

 Solat di Masjidil Haram tidak lagi dibatasi penjarakan fizikal yang dikuatkuasa bagi mengekang penularan COVID-19. - Foto AFP

Solat di Masjidil Haram tidak lagi dibatasi penjarakan fizikal yang dikuatkuasa bagi mengekang penularan COVID-19. - Foto AFP

MAKKAH: Masjidil Haram hari ini dibenarkan beroperasi mengikut kapasiti penuh dengan jemaah menunaikan solat tanpa dibatasi penjarakan fizikal buat pertama kali sejak tercetusnya pandemik COVID-19.

Kumpulan pekerja menanggalkan penanda di lantai sebagai panduan untuk orang ramai melakukan penjarakan fizikal sebelum ini di dalam dan sekitar Masjidil Haram.

"Perkara ini selari dengan keputusan untuk melonggarkan langkah berjaga-jaga dan membenarkan jemaah dan pelawat berada di Masjidil Haram dalam kapasiti penuh," lapor agensi berita rasmi Arab Saudi (SPA).

Foto dan gambar ketika solat Subuh pagi tadi menunjukkan umat Islam menunaikan solat tanpa penjarakan fizikal dengan saf dirapatkan semula.

Walaupun kelonggaran penjarakan fizikal diberikan, pihak berkuasa berkata pelawat mestilah lengkap vaksinasi dan wajib memakai pelitup muka di kawasan sekitar Masjidil Haram.

Pada masa sama, Kaabah masih dikepung dan tidak boleh dihampiri dalam jarak dekat.

Ogos lalu, Arab Saudi mengumumkan pembukaan semula ibadat umrah bagi warga asing yang sudah lengkap vaksinasi.

Untuk rekod, Julai lalu, Arab Saudi membenarkan sekitar 60,000 penduduknya yang lengkap divaksinasi untuk menunaikan ibadat haji yang dilaksanakan dalam skala kecil.

Pandemik COVID-19 memberi kesan besar kepada pelaksanaan ibadat haji dan umrah yang sebelum ini memberi pulangan utama kepada kerajaan Arab Saudi dengan pendapatan AS$12 bilion (RM49 bilion) setahun.

Setakat ini, Arab Saudi mengesahkan sebanyak 547,000 kes COVID-19 dengan 8,760 kematian. - AFP

Tiada ulasan: