Noorhashimah Hashim dan Mohd. Azwan Mohd. Ali berjaya memberi ruang buat K2 untuk mengintai ke dalam kediamannya.
Terletak di Bandar Puteri, Bangi, Selangor, kediaman jenis teres hibrid berkeluasan kira-kira 150 meter persegi yang mempunyai tiga bilik tidur dan tiga bilik mandi ini mengetengahkan konsep minimalis.
“Bercerita tentang konsep, kami lebih suka minimalis dari dulu walaupun tidak memenuhi kriteria 100 peratus. Kesibukan kerja dan anak-anak yang masih kecil amat mempengaruhi pilihan kami terhadap tema ini.
“Tambahan pula saya dan suami memang suka melihat rumah sentiasa bersih tidak banyak barang untuk diuruskan. Justeru, kami meletakkan sedikit hiasan supaya nampak lapang, kemas dan tidak menyimpan habuk,” kata Noorhashimah memulakan bicara.
Pemilihan konsep tersebut nyata berjaya menonjolkan identitinya yang tersendiri apabila keseluruhan ruang kediaman tampak redup dan segar sehingga tidak jemu mata memandang.
Menggunakan rona putih sebagai warna tema bukan sahaja menjadikan ruang nampak bersih tetapi juga menjadikan kediaman kelihatan lebih luas.
Biarpun putih sering dikatakan senang nampak kotor, namun bagi Noorhashimah, dia tidak risau mempertaruhkan rona tersebut pada kediamannya kerana dapat memberi motivasi buat ibu kepada tiga orang cahaya mata ini untuk menjaganya supaya sentiasa bersih.
Tidak banyak perabot dan aksesori yang memenuhi segenap penjuru ruang, namun susun atur bertemakan minimalis tetap menarik dan langsung tidak mempunyai sebarang cacat cela.
Hanya menjadikan gantungan beberapa bingkai gambar pada satu sudut dinding kediaman dengan beberapa batang pokok artifisial sebagai perhiasan, itu sudah cukup menaikkan seri kediaman ini.
Pemilik juga bijak menyuai padan warna-warna di dalam kediaman tersebut bagi mewujudkan ilusi kontra dan seimbang seperti menggunakan perabot rona hitam dan coklat gelap.
Melihatkan keseluruhan ruang milik Noorhashimah, ternyata dia dan suami begitu bijak menggayakan susun atur dan dekorasi pada kediaman tersebut mengikut tema dipilih.
“Kami sukakan aksesori ringkas dan sederhana serta menerapkan unsurunsur semula jadi.
“Kami suka pokok-pokok hidup supaya nampak segar,” katanya.
Terangnya, dia mengambil masa dua hingga tiga minggu untuk proses pengubahsuaian dengan mendahulukan perkara-perkara penting sebelum berpindah masuk ke kediaman tersebut.
Kebanyakan idea dekorasi diperoleh di media sosial seperti Facebook dan Instagram. Begitupun, tata hias itu digarap sendiri mengikut kreativiti dan bajet.
“Paling kami utamakan adalah bahagian dapur kerana bagi kami, ruang itu nadi utama sesebuah rumah.
“Memandangkan rumah ini direka berkonsepkan dapur terbuka, kami menitikberatkan kebersihan dan susun atur serba ringkas atau sederhana supaya tidak kelihatan sarat.
“Setakat ini, bajet untuk dekorasi kediaman ini sekitar RM30,000 dan banyak lagi ruang yang perlu diubah suai.
“Kerana kekangan kerja dan situasi semasa, kami terpaksa tangguhkan dahulu,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan