17 Oktober 2021

Harga lantai umrah ditetapkan pada RM6,900

 

Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menetapkan harga lantai yang telah dipersetujui bagi pengerjaan umrah untuk 12 hari dan 10 malam ialah RM6,900 setiap jemaah.

MOTAC berkata, penetapan itu dibuat selepas perbincangan dilakukan dengan persatuan pengendali umrah di negara ini.

Menurutnya, kali terakhir penetapan harga lantai itu ialah pada tahun 2017 iaitu pada paras harga RM4,900.00.

“Harga lantai itu dibuat selepas terdapat peningkatan kos memandangkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) sama ada di pihak Arab Saudi atau di pihak kerajaan Malaysia.

“Antara faktor-faktor yang mempengaruhi peningkatan kos adalah bilangan kapasiti di dalam bilik penginapan di Arab Saudi, kapasiti pergerakan pengangkutan yang membenarkan 50 peratus dari jumlah kapasiti sebenar dan pengurusan mutawif serta ujian calitan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, harga lantai ini akan disemak semula apabila wabak Covid-19 diisytiharkan berakhir dan keadaan sudah kembali normal yang mana kekangan SOP tidak lagi dilaksanakan oleh pihak Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.

Jelasnya lagi, harga ini juga adalah panduan bagi pihak MOTAC dalam melaksanakan pemantauan terhadap industri umrah. – K! ONLINE

Tiada ulasan: