17 Oktober 2021

Penjawat awam enggan divaksin boleh dikenakan tindakan

 Peguam bela dan peguam cara, Datuk Salehuddin Saidin. - NSTP/Amirudin Sahib

Peguam bela dan peguam cara, Datuk Salehuddin Saidin. - NSTP/Amirudin Sahib

KUALA LUMPUR: Kerajaan ada ruang untuk mengenakan tindakan ke atas penjawat awam yang enggan menerima vaksin tanpa alasan munasabah atau boleh diberi pengecualian.

Peguam bela dan peguam cara, Datuk Salehuddin Saidin, berkata tindakan itu boleh dikenakan ke atas penjawat awam terbabit, walaupun tiada akta khusus yang mewajibkan pengambilan vaksin.

Beliau berkata, ini kerana setiap penjawat awam tertakluk kepada peraturan perjawatan, selain tindakan dikenakan ke atas mereka tidak bercanggah dengan Perlembagaan, walaupun tiada pindaan dibuat ke atas dokumen berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, bentuk tindakan boleh dikenakan ke atas penjawat awam terbabit tertakluk kepada keluasan punca kuasa termaktub dalam peraturan perjawatan berkenaan.

"Memang boleh diambil tindakan (ke atas penjawat awam enggan divaksin tanpa alasan munasabah atau boleh diberi pengecualian) kerana itu sedia ada (dalam peraturan perjawatan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)).

"Walaupun dalam Perlembagaan kita tak pinda (untuk mewajibkan pengambilan vaksin), itu syarat dalam perjawatan, jadi ia boleh diterima.

"Peraturan sama boleh diperluas ke sektor swasta, sekiranya majikan mahu menggunakannya, selain kakitangan mereka masih mempunyai ruang untuk mencabar keputusan itu jika tidak berpuas hati dan ia terpulang kepada mahkamah untuk menentukannya," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengenai pelaksanaan undang-undang sektoral membabitkan keseluruhan sektor perkhidmatan awam yang juga akan diperluas ke sektor swasta.

JPA dalam kenyataan sebelum ini, menjelaskan semua kakitangan awam tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (PU(A) 395/1993).

PU(A) 395/1993 memperuntukkan tujuh hukuman tatatertib boleh dikenakan kepada pegawai awam didapati melakukan kesalahan, iaitu amaran, denda, dilucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau dibuang kerja.

Penjawat awam dikenakan tatatertib juga, tidak layak untuk dipertimbang kenaikan pangkat bagi tempoh tertentu mengikut jenis hukuman, seperti amaran (12 bulan), denda (18 bulan), lucut hak emolumen (24 bulan), tangguh pergerakan gaji (30 bulan), turun gaji (36 bulan) dan turun pangkat (48 bulan).

Sementara itu, Salehuddin berkata, Akta Hasutan 1948 dilihat medium boleh digunakan bagi membendung penularan berita palsu atau kenyataan menghasut mana-mana orang supaya jangan mengambil vaksin.

"Selagi (kerajaan) tak wajibkan penggunaan vaksin, selagi itulah kita tak boleh adakan satu undang-undang menghalang (kumpulan antivaksin). Apapun, kerajaan perlu gubal akta khusus (mewajibkan pengambilan vaksin) terlebih dahulu.

"Bagaimanapun, ketika ini kalau ada (individu) menghasut mana-mana orang supaya jangan buat atas alasan peribadi atau alasan memudaratkan, itu mungkin boleh dilihat pada Akta Hasutan 1948," katanya.

bharian.

Tiada ulasan: