LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berkata Mohamed Salah ialah pemain terbaik dunia selepas persembahan hebat berdepan Watford malam tadi.
Penyerang itu menampilkan persembahan menakjubkan bagi membantu kemenangan 5-0 Liverpool, menjaringkan satu gol pada minit ke-54 dan membantu untuk dua lagi gol.
Klopp kagum dengan persembahan solo Salah untuk gol keempat Liverpool dengan mendakwa pemain Mesir itu dalam prestasi terbaik mengatasi Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.
Selepas menerima bola hantaran Roberto Firmino berhampiran kotak penalti dia menewaskan Juan Hernandez, Juraj Kucka dan Craig Cathcart sebelum meledak ke gawang dan Klopp pantas memuji gol pemain berusia 29 tahun itu.
Klopp memberitahu BT Sport: "Persembahannya sangat hebat hari ini. Hantaran untuk gol pertama amat bagus dan gol kedua adalah istimewa.
"Dia berada di tahap terbaik. Kita semua boleh lihat. Siapa lebih baik daripadanya? Kita tidak perlu bercakap apa yang Messi dan Ronaldo sudah lakukan terhadap bola sepak dunia dan dominasi mereka. Tapi ketika ini, dia yang terbaik."
Pengurus Liverpool itu berkata akan ada sesuatu lebih baik daripada bintang Mesir itu.
Katanya: "Salah berada pada usia yang dia masih boleh meningkat, dan dia melakukannya secara konsisten." - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan