17 Oktober 2021

Dos penggalak percuma ringan beban jemaah umrah - PAPUH

 - Foto hiasan.

- Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan menyediakan dos penggalak bagi bakal jemaah umrah yang tidak menerima jenis vaksin ditetapkan kerajaan Arab Saudi, sememangnya membantu mengurangkan beban kumpulan sasar yang sebelum ini bimbang tidak dapat melaksanakan ibadat itu.

Mengalu-alukan keprihatinan kerajaan itu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata semua agensi di bawah persatuan berkenaan diminta memaklumkan segera mengenai perkembangan terbaharu terbabit kepada bakal jemaah di bawah kelolaan mereka.

"Pengumuman mengenai penyediaan dos penggalak oleh kerajaan ini amat positif dan PAPUH sangat mengalu-alukannya. Ini menunjukkan keprihatian kerajaan kepada bakal jemaah umrah yang sudah lama terpaksa menangguhkan hasrat untuk ke Tanah Suci.

"PAPUH berharap semua penyedia perkhidmatan umrah mengambil langkah susulan berhubung perkara ini dan bakal jemaah sendiri akan segera membuat permohonan dos penggalak sebaik saja ia dibuka bulan depan," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, memaklumkan individu mahu menunaikan umrah tetapi tidak menerima jenis vaksin ditetapkan Arab Saudi, boleh memohon kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mendapatkan suntikan penggalak menerusi aplikasi MySejahtera bermula bulan depan.

Sebelum ini, kerajaan Arab Saudi dilapor membenarkan individu mengambil suntikan vaksinasi Sinovac menunaikan umrah, dengan syarat mendapatkan dos penggalak.

Razali turut mencadangkan kerajaan mempermudah lagi urusan mendapatkan dos penggalak, termasuk dengan membuka kaunter bagi membolehkan bakal jemaah datang secara 'walk in' tanpa perlu menungu giliran.

"Jemaah mungkin boleh diberi pilihan. Jika mahu mendapatkan dos penggalak dengan segera, mereka perlu membayar kos dos berkenaan dan mengambilnya di fasiliti kesihatan yang menyediakan perkhidmatan itu. Jika mahu mendapatkan dos dengan percuma, boleh menunggu giliran selepas membuat permohonan," katanya.

Sementara itu, bakal jemaah, Roswitawati Azahri, 45, dari Kuala Terengganu, amat bersyukur dengan pengumuman kerajaan mengenai penyediaan dos penggalak berkenaan.

Beliau berharap, hasratnya dan beberapa ahli keluarga yang terpaksa menangguhkan perjalanan ke Tanah Suci sejak Mac tahun lalu akan dapat ditunaikan.

"Saya amat teruja dengan pengumuman itu, malah sejak semalam, saya sudah mula bertanya jika ada klinik yang akan menyediakan perkhidmatan itu di kawasan berdekatan. Saya sendiri dan beberapa ahli keluarga menerima vaksin Sinovac, jadi penyediaan dos penggalak oleh kerajaan tentunya berita amat ditunggu-tunggu," katanya.

bharian.-

Tiada ulasan: