06 Disember 2021

Akan bertaubat setelah datangnya hidayah?

 

ALLAH S.W.T yang melahirkan dalam hati seseorang itu rasa untuk bertaubat, tetapi persoalannya, bilakah waktu hidayah itu datang?

Jawapannya ialah ketika seorang hamba itu mengingati kalam Allah yang melarang dirinya daripada melakukan maksiat tersebut. Dia perlu sedar bahawa perbuatan tersebut adalah diharamkan dan mengingati amaran Allah S.W.T jika manusia mengingkarinya.

Pada ketika itulah, hamba itu akan berharap agar dirinya berupaya menjauhkan dirinya daripada maksiat-maksiat tersebut. Di sinilah datangnya pertolongan Allah S.W.T, lantas Tuhan akan meletakkan dalam diri hamba itu kemampuan untuk tidak meneruskan maksiat tersebut.

Walau bagaimanapun, sering kali kita mendengar apabila seseorang mengingatkan pelaku maksiat mengenai perlunya kembali kepada Allah S.W.T dan tidak meneruskan perbuatan dosa itu, mereka akan menjawab: ‘Nanti saya dapat hidayah, saya bertaubatlah.’

Percakapan ini sendiri sebenarnya adalah satu tanggapan yang salah. Pembukaan pintu taubat itu berlaku dengan berfikir mengenai dosa dan amaran Allah S.W.T. Setelah itu, seorang hamba pasti akan berasa takut dengan hukuman yang akan menimpa dirinya.

Namun, sekalipun dia belum mampu menjauhkan dirinya daripada maksiat itu, tetapi dia mengakui dosanya lalu bertaubat. Inilah pertolongan Allah S.W.T dalam memberi hidayah. Pertolongan datang apabila seseorang hamba berada dalam kedudukan sebagai seorang yang mencari perlindungan Allah.

Adapun orang yang berkata: ‘Saya tunggu Allah beri hidayah,’ sedangkan dia tidak mencari perlindungan Allah, bahkan dengan yakin meneruskan lagi dosanya, maka sampai bila-bilalah dia tidak akan bertaubat walhal dirinya sendiri tidak mencari. Ingatlah firman Allah S.W.T:

إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ ۗ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُ ۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِ مِن وَالٍ

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.”

[al-Ra‘d: 11]

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 6/12/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/412578727095840/posts/459269459093433

Tiada ulasan: