Lumajang: Gunung Semeru di sini, meletus lagi dan memuntahkan lebih banyak abu hari ini, memaksa pasukan penyelamat menangguhkan pencarian mangsa.
Gunung terbesar di Pulau Jawa mengeluarkan bunyi bergemuruh pada semalam, memuntahkan 'cendawan' abu gunung berapi ke langit dan menghujani lumpur panas menyebabkan beribu-ribu orang panik meninggalkan rumah mereka.
Gambar dari udara menunjukkan seluruh jalan dipenuhi abu gunung berapi kelabu dan lumpur, menyebabkan banyak rumah dan kenderaan rosak.
Operasi menyelamat digantung kerana aktiviti gunung berapi terbabit aktif semula.
"Semua pasukan pemindahan sudah ditarik keluar...buat sementara waktu kerana terdapat sedikit letusan baru dan ia boleh membahayakan pasukan," kata anggota penyelamat, Rizal Purnama.
Menurutnya, pencarian akan diteruskan apabila keadaan agak selamat.
Agensi Bencana Nasional Indonesia berkata, 27 orang masih hilang.
Kepulan asap tebal berbahaya terus keluar dari kawasan yang diselubungi abu gunung berapi, manakala penyelamat bertopi cuba menggali lumpur untuk mencari mangsa yang terselamat dan mayat.
Tugas mereka menjadi lebih sukar kerana serpihan gunung berapi mula mengeras.
"Ia sangat sukar...dengan alatan biasa," kata Rizal Purnama.
Kemungkinan besar mayat yang belum ditemui tertimbus di bawah aliran lumpur panas.
"Anggota penyelamat lain membantu penduduk kampung yang terdesak menyelamatkan barang-barang mereka dari rumah yang musnah. Sesetengah penduduk tempatan mengangkat tilam dan perabot mereka, manakala yang lain ada membawa kambing," katanya.
HMETRO.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan