06 Disember 2021

Kempen calon Presiden Perancis dicemari pergaduhan

 Zemmour berucap pada acara pertama kempennya sebagai calon Presiden Perancis, di Villepinte, semalam. - FOTO EPA

Zemmour berucap pada acara pertama kempennya sebagai calon Presiden Perancis, di Villepinte, semalam. - FOTO EPA

PARIS: Calon Presiden Perancis, Eric Zemmour yang berhaluan pelampau kanan, cedera ringan selepas diserang pada perhimpunan pertama kempennya yang turut menyaksikan pergaduhan tercetus ketika beliau berucap di hadapan ribuan penyokong, semalam.

Seorang pembantunya memberitahu AFP, pengarang dan pengulas televisyen berusia 63 tahun itu mengalami kecederaan di pergelangan tangan apabila seorang lelaki didakwa mencengkam Zemmour dengan ganas ketika beliau menuju ke pentas di sebuah pusat pameran gergasi di Paris.

Perhimpunan itu adalah acara pertama kempen rasmi Zemmour sejak beliau mengumumkan akan bertanding menentang Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang berhaluan tengah, pada pilihan raya April tahun depan.

"Pertaruhannya amat besar: jika saya menang, ia akan menjadi permulaan kepada memenangi semula negara tercantik di dunia," kata Zemmour di hadapan penyokong yang menyambut retorik antiimigresen beliau dengan sorakan kuat pada acara di Villepinte.

Namun tidak lama selepas ucapannya bermula, pergaduhan tercetus dan kerusi dilemparkan ke arah aktivis yang berdiri dengan memakai kemeja-T tertera perkataan 'Tidak Kepada Perkauman'.

Aline Kremer daripada kumpulan SOS Racisme yang menganjurkan tindakan aktivis terbabit, menjelaskan mereka sekadar mahu mengadakan bantahan tanpa keganasan.

"Namun, orang ramai menerkam lalu memukul mereka," katanya kepada AFP.

Seorang kru daripada rancangan berita televisyen popular, Quotidien yang kerap melontar kritikan, turut kena 'boo' sebelum dibawa keluar oleh anggota keselamatan.

Zemmour mempunyai rekod dua sabitan atas kesalahan ucapan berunsur kebencian sebelum ini. - AFP

Tiada ulasan: