06 Disember 2021

Harga keladi RM38,000 sepokok

 Berharga RM38,000 sepokok, iaitu dari spesies kacukan dari Thailand, colocasia midnight. Foto-Ihdan Ahmad Rabiul

PreviousNext

POKOK keladi lazimnya tumbuh di hutan, kini diletakkan di ruang istimewa untuk hiasan dalaman, selain kewujudan ribuan spesies termasuk jenis hibrid atau kacukan menyebabkan nilainya begitu tinggi.

Harga pernah direkodkan RM38,000 sepokok, iaitu dari spesies kacukan jenis colocasia midnight.

Typhonium trilobatum – sumber ubatan yang dikenali sebagai Keladi Tikus sebagai mengubati penyakit kanser

Keladi berharga kayangan itu dimiliki pasangan suami isteri, Zaini Zakaria, 40, Mohd Saad Madhsham, 52, dari Kampung Seberang Marang, Terengganu, yang awalnya dibeli dengan harga RM18,000 dan kemudian dijual RM38,000 sepokok.

Keladi itu mahal disebabkan ia spesies jarang dijumpai dan hasil kacukan dibeli dari Thailand.

Namun, tanaman eksotik daripada keluarga tumbuhan monokotiledon ini, juga dijadikan makanan ruji, selain bermanfaat untuk tujuan perubatan yang belum diteroka sepenuhnya.

5,430 spesies keladi

Setakat ini, sebanyak 5,430 spesies keladi daripada 118 genus tanaman itu dengan pelbagai corak dan warna dikenal pasti di seluruh dunia.

Daripada angka itu, sebanyak 1,500 spesies tumbuh di Asia. Di Semenanjung ditemui 146 spesies keladi terdiri daripada 28 genus.

Daripada keseluruhan 146 spesies itu, 29 spesies adalah jenis endemik yang tiada di tempat lain.

Pakar Ekologi dan Taksonomi Tumbuhan, Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Zulhazman Hamzah, menerusi penyelidikannya sudah mengenal pasti sebanyak 57 spesies keladi melalui puluhan tapak di Malaysia termasuk di Kelantan, Pulau Pangkor, Perak; dan Sekayu, Terengganu.

Beliau mengakui banyak manfaat, keunikan dan keistimewaan daripada pelbagai spesies keladi.

Selain sebagai pokok hiasan, ada beberapa spesies keladi mempunyai khasiat untuk perubatan.

Spesies typhonium trilobatum  – sumber ubatan yang dikenali sebagai Keladi Tikus sebagai mengubati penyakit kanser. - Foto/Ihsan Zulhazman Hamzah
Spesies typhonium trilobatum – sumber ubatan yang dikenali sebagai Keladi Tikus sebagai mengubati penyakit kanser. - Foto/Ihsan Zulhazman Hamzah

"Pokok keladi boleh menyembuhkan luka, dipercayai membantu mengubati gout dan kanser paru-paru, payudara, prostat, hati, rektum, pangkal rahim dan buah pinggang," katanya.

Keladi ubat kanser, gout

Orang zaman dahulu menggunakan kulit batang keladi alocasia longiloba atau keladi candik untuk membalut luka.

Penyelidikan di makmal mendapati sebatian kimia dalam keladi itu boleh menghentikan pendarahan.

"Makan dua biji keladi candik berwarna merah pada waktu pagi, tengah hari dan malam dipercayai boleh membantu mengubati gout.

"Ia sudah dibuktikan melalui penyelidikan makmal yang diterbitkan dalam jurnal berimpak tinggi," katanya.

Spesies keladi tikus atau typhonium trilobatum yang dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh pedagang China beberapa abad lalu sebagai ramuan ginseng juga menjadi sebahagian sumber mengubati kanser secara semula jadi.

Malah, kajian pelajar Ijazah Sarjana UMK mendapati keladi spesies alocasia puber tumbuh di dalam air, berperanan sebagai penapis air semula jadi dan menyerap logam berat seperti zink.

Kini, kajian lanjut mengenainya masih dijalankan.

"UMK di peringkat akhir menghasilkan produk perubatan daripada ekstrak keladi bagi memanfaatkan sumber alam semula jadi ini dengan penekanan kepada inovasi hijau," katanya.

Spesies scindapsus pictus – keladi memanjat, dijadikan tumbuhan hiasan dalaman di ruang rumah, pejabat dan hotel.- Foto/Ihsan Zulhazman Hamzah
Spesies scindapsus pictus – keladi memanjat, dijadikan tumbuhan hiasan dalaman di ruang rumah, pejabat dan hotel.- Foto/Ihsan Zulhazman Hamzah

3 spesies baharu keladi

Beliau juga menemui tiga spesies baharu keladi beberapa tahun lalu di Kelantan, iaitu homalomena kualakohensis, homalomena stongensis serta alocasia farisii. Kemudian dinamakannya bersempena nama Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V atau Tengku Muhammad Faris Petra.

Keladi bersifat versatil dan terserlah apabila turut dijadikan sebahagian sumber makanan ruji masyarakat di seluruh dunia.

Antaranya, keladi sesuai dijadikan makanan termasuk spesies colocasia esculenta atau turut dikenali dengan pelbagai nama seperti keladi pinang, keladi batang putih dan keladi tapak badak disebabkan variasi daun dan batang sebahagian daripada ciri-cirinya.

"Di Bangladesh keladi dijadikan ulam-ulaman. Hidangan sayur lemak keladi misalnya sesuatu yang biasa dalam kalangan masyarakat Melayu," katanya.

Namun, bukan semua keladi sesuai dimakan. Ada kumpulan berbahaya, iaitu diffenbachia dari Afrika boleh menyebabkan alahan sangat teruk.

Pelbagai spesies keladi itu banyak ditanam di halaman rumah sebagai tanaman hiasan, selain membiak dalam kebun getah.

"Bagi spesies di kebun tidak digalakkan ditanam kerana ada getah berwarna putih menyebabkan alahan teruk kepada individu mempunyai kulit sensitif," katanya.

Keladi tular, ada nilai estetika

Mengulas 'kegilaan' ramai terhadap keladi sebagai perhiasan katanya, sebagai pengkaji beliau gembira melihat perkembangan ini sekali gus

lebih ramai cakna mengenai pelbagai spesies keladi.

Pokok keladi membekalkan oksigen, menyerap karbon dioksida, selain keunikan dan kecantikannya menyuntik nilai estetika serta dapat mengurangkan tekanan.

Bagi spesies keladi yang memanjat seperti scindapsus pictus sering dijadikan tumbuhan hiasan pilihan termasuk di hotel dan kediaman.

Spesies colocasia esculenta - sumber makanan dikenali penduduk kampung dengan pelbagai nama seperti Keladi Pinang, Keladi Batang Putih dan Keladi Tapak Badak.- Foto/Ihsan Zulhazman Hamzah
Spesies colocasia esculenta - sumber makanan dikenali penduduk kampung dengan pelbagai nama seperti Keladi Pinang, Keladi Batang Putih dan Keladi Tapak Badak.- Foto/Ihsan Zulhazman Hamzah

Spesies keladi yang tular kebanyakannya dihasilkan di China menggunakan kaedah kacukan, iaitu tisu kultur bagi mencantikkan warna daun dan batangnya.

Jenis kacukan termasuk alocasia, aglaonema, colocasia dan schismatoglottis memerlukan penjagaan teliti kerana dibiakkan melalui kaedah itu.

"Spesies kacukan sangat sensitif dan tidak tahan kepada penyakit. Malah jangan banyak terdedah pada matahari dan perlu dikendalikan dengan cermat ketika dipindahkan untuk elak akar rosak dan layu," katanya.

Sementara keladi asli menarik dari segi urat daun dan bentuknya tetapi warnanya, tidak begitu 'meriah' seperti keladi kacukan.

Kebanyakannya hanya mengandungi campuran warna hijau, kuning dan putih.

Elak keladi pupus

Beliau berharap spesies keladi liar di negara ini dapat dijaga supaya tidak mengalami kepupusan.

Ada spesies keladi, iaitu alocasia reginula yang endemik dari Borneo dan kali pertama ditemukan di Tabin, Lahad Datu, Sabah, kini sudah pupus di tempat asalnya, tetapi banyak dijual di tapak semaian.

"Ia hampir pupus kerana diambil orang kampung sebagai pokok hiasan dan ada nurseri biak menggunakan kaedah tisu kultur serta dikomersilkan.

Sementara itu, Azita Mohamad, 47, dari Kampung Tok Kahat, Banggol Katong, Kuala Terengganu, tumpuannya membeli pelbagai spesies anak benih keladi untuk dibiakkan dan dijual semula.

Kini, lebih 100 spesies pokok keladi antaranya, mojito, topeng firaun, black coral, frydex, sila gold, monsawang, jazz, cat tumpah, albino, karipap, keris dan ramlah pink.

"Awalnya hanya beli 10 anak keladi berharga RM18 hingga RM20 sepokok dan dibiakkan. Jenis mojito boleh mencecah RM2,500 sepokok," katanya yang mampu menjana pendapatan RM300 hingga RM800 sehari.

Jenis keladi diimport dari Thailand dan Indonesia lebih mahal berbanding keladi liar dan tempatan.

Zulhazman Hamzah
Zulhazman Hamzah

Minat berbaloi

Justeru, disebabkan pokok keladi digilai ramai dan peminatnya sanggup membeli mengikut cita rasanya, beliau tidak kisah mengabdikan diri mengusahakan tanaman itu.

Mengenai penjagaan ia pokok hiasan lain namun pokok keladi hiasan paling mudah ditanam, membiak dan dijaga.

"Cukup baja, air dan penjagaan yang betul, pokok keladi ditanam mesti membesar dengan sihat.   Baja dan jaga supaya hasilnya sempurna," katanya.

BHARIAN.

Tiada ulasan: