06 Disember 2021

Penduduk Lumajang berdepan masalah kesihatan akibat terdedah debu Semeru

 

KEADAAN di sebuah kawasan yang dipenuhi dengan debu panas susulan letusan gunung berapi Semeru di Lumajang, Indonesia. - AFP

JAKARTA: Letusan Semeru tidak hanya menyebabkan penduduk mengalami kecederaan akibat melecur.
Malahan, debu panas yang dihamburkan oleh gunung berapi itu boleh menyebabkan pelbagai penyakit berkaitan saluran pernafasan dan mencetuskan alahan pada kulit.

Pakar penyakit saluran pernafasan, prof. Dr. Tjandra Yoga Aditama berkata, terdapat enam penyakit yang boleh disebabkan oleh debu gunung  berapi.

Antaranya termasuk Jangkitan Saluran Pernafasan Atas (melibatkan hidung, sinus), Jangkitan Saluran Pernafasan Bawah (pneumonia dan bronkitis), alahan pada mata, alahan pada kulit, gangguan saluran pencernaan dan melemahkan daya tubuh.

“Debu panas gunung berapi tidak mampu ditapis sepenuhnya oleh paru-paru dan keadaan itu membahayakan saluran pernafasan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan beberapa langkah pencegahan boleh diambil.

Antaranya, jangan keluar rumah atau tempat perlindungan jika tiada urusan penting, terutamanya di kawasan terus terjejas.

Gunakan pelitup muka, menutup perigi atau kolam takungan kecil daripada debu gunung berapi.

Seterusnya, mencuci semua sayuran, buah dan tangan secara kerap, selain segera mendapatkan rawatan jika mengalami sesak nafas dan alahan pada kulit serta mata.

UTUSAN.

Tiada ulasan: