06 Disember 2021

Omicron merebak ke 16 negeri AS

 

WASHINGTON: Varian baharu Covid-19, Omicron kini telah merebak merangkumi satu pertiga atau 16 negeri di seluruh Amerika Syarikat, tetapi varian Delta kekal sebagai punca majoriti jangkitan baharu Covid-19 di negara itu.


Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan, Anthony Fauci berkata pada Ahad, walaupun kemunculan Omicron telah menimbulkan kebimbangan di peringkat global, namun belum ada mengenai komplikasi buruk impak varian baharu Covid-19 berkenaan.

“Masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan yang pasti dan lebih banyak kajian diperlukan terhadap Omicron,” katanya, lapor CNN.

Dalam pada itu, Fauci juga berharap AS akan menarik semula larangan ke atas pelancong dari negara-negara Afrika Selatan untuk suatu ‘tempoh masa yang munasabah’.

Kerajaan Afrika Selatan sebelum ini menegaskan tindakan cepat memaklumkan tentang kes Omicron yang pertama kali dijumpai di negara itu sepatutnya dipuji dan bukan seolah-olah dihukum dengan sekatan tersebut.

Sekurang-kurangnya 16 negeri AS telah melaporkan kes Omicron termasuk California, Colorado, Connecticut, Hawaii, Louisiana, Maryland, Massachusetts, Minnesota, Missouri, Nebraska, New Jersey, New York, Pennsylvania, Utah, Washington dan Wisconsin, lapor pula Reuters.

Kebanyakan kes jangkitan adalah dalam kalangan individu yang telah mendapat vaksin sepenuhnya dengan mengalami simptom ringan, walaupun status suntikan penggalak bagi sesetengah pesakit tidak dilaporkan.

“Walaupun muncul beberapa dozen kes Omicron, varian Delta masih menyumbang 99.9 peratus kes jangkitan baharu Covid-19 di AS,” kata Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), Dr. Rochelle Walensky memberitahu ABC News dalam satu temu bual.

Dalam tempoh tujuh hari lalu, AS mempunyai purata 119,000 kes jangkitan baharu dan 1,300 kematian baharu sehari akibat Covid-19. – HARAKAHDAILY 6/12/2021

Tiada ulasan: