06 Disember 2021

Hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri Sarawak hari ini

 Petugas kesihatan dari KKM melakukan semburan sanitasi sebelum proses penamaan calon di Pusat Penamaan Calon DUN N.26 Gedong, di Dewan Masyarakat Gedong, Kampung Gedong. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Petugas kesihatan dari KKM melakukan semburan sanitasi sebelum proses penamaan calon di Pusat Penamaan Calon DUN N.26 Gedong, di Dewan Masyarakat Gedong, Kampung Gedong. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

KUCHING: Hari ini merupakan Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Sebanyak 82 kerusi dipertandingkan di negeri terbesar negara ini, dengan pencalonan berlangsung antara jam 9 dan 10 pagi.

Sejumlah 1,252,014 pengundi berdaftar layak untuk mengundi pada 18 Disember ini, dengan pengundian awal ditetapkan pada 14 Disember.

Buat kali pertama kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan empat parti komponen yakni Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) - akan bertanding, sejak ia bertindak keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada 2018.

Pada PRN Sarawak 2016 lalu, empat parti itu serta 'calon langsung' berjaya menawan 72 kerusi, termasuk dua yang dimenangi tanpa pertandingan, yakni di Bukit Sari and Bukit Kota.

Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg merupakan Pengerusi GPS, dan beliau juga adalah presiden PBB.

Beliau yang dikenali ramai dengan panggilan Abang Jo, akan bertanding di kawasan luar bandar, di Gedong buat kali pertama, meninggalkan kerusi Satok yang menjadi miliknya selama 40 tahun, untuk ditandingi oleh timbalan Pengerusi PBB Satok, Datuk Ibrahim Baki.

Jumlah calon bertanding dijangka melebihi rekod 229 pada 2016, berdasarkan kepada pengumuman oleh beberapa parti politik yang sudahpun menamakan calon masing-masing menjelang hari penamaan calon.

Ia termasuk DAP, PKR, Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), Parti Bangsa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) dan PAS.

PRN terpaksa ditangguhkan pada pertengahan tahun ini disebabkan pandemik COVID-19, demi menjaga keselamatan rakyat.

Darurat di seluruh negara diisytiharkan dari Januari hingga Ogos, dan seterusnya di Sarawak dilanjutkan selama enam bulan lagi, namun ia ditarik kembali pada 3 November atas perkenan yang di-Pertuan Agong, yang memberi laluan kepada PRN Sarawak.

Bagi mengelak penularan jangkitan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan aktiviti kempen dalam kawasan Dewan Undangan Negeri masing-masing, namun kempen di luar kawasan yang ditandingi tidak dibenarkan.

Ceramah serta syarahan umum bagaimanapun dibenarkan di 64 kawasan Dewan Undangan Negeri yang memiliki liputan internet lemah, dan jumlah yang hadir tidak dibenarkan melebihi 50 peratus daripada kapasiti venue, atau 150 orang pada satu-satu masa. – BERNAMA

Tiada ulasan: