06 Disember 2021

Arab Saudi lulus kemasukan pelancong dengan vaksin Sputnik

 Kerajaan Arab Saudi meluluskan kemasukan individu yang mendapat suntikan vaksin keluaran Russia, Sputnik V mulai 1 Januari 2022. - Foto AFP

Kerajaan Arab Saudi meluluskan kemasukan individu yang mendapat suntikan vaksin keluaran Russia, Sputnik V mulai 1 Januari 2022. - Foto AFP

MOSCOW: Arab Saudi meluluskan syarat kemasukan pelancong atau pengembara luar yang mempunyai rekod suntikan vaksin Sputnik.

"Kerajaan Arab Saudi meluluskan kemasukan individu yang mendapat suntikan vaksin keluaran Russia, Sputnik V mulai 1 Januari 2022," kata Dana Pelaburan Langsung Russia (RDIF), menerusi kenyataan.

Kenyataan itu menjelaskan, keputusan Arab Saudi bakal memberi peluang kepada golongan Muslim di seluruh dunia yang mendapat suntikan Sputnik V untuk mengerjakan haji dan umrah.

Pelancong asing yang mempunyai rekod vaksinasi Sputnik V dan ingin memasuki Arab Saudi bagaimanapun masih perlu menjalani kuarantin selama tempoh 48 jam serta mengambil ujian RT-PCR.

Arab Saudi adalah negara terbaharu dalam kalangan lebih 100 negara lain yang menerima pelancong asing, dengan rekod vaksinasi Sputnik, kata RDIF.

Hanya 15 negara termasuk Amerika Syarikat (AS) ketika ini yang memperuntukkan bahawa hanya vaksin selain Sputnik bakal membolehkan pengembara memasuki negara mereka.

Russia mendaftarkan vaksin Sputnik V pada Ogos tahun lalu sebelum melakukan ujian klinikal berskala besar-besaran, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pakar berhubung proses 'jalan pintas' sedemikian.

Bagaimanapun, ramuan pelalian itu diisytiharkan selamat dan mempunyai keberkesanan melebihi 90 peratus, dalam laporan yang diterbitkan jurnal perubatan The Lancet.

Vaksin dibangunkan Russia bagaimanapun belum mendapat pengesahan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) atau pihak berkuasa perubatan Kesatuan Eropah (EU) dan AS. - AFP

Tiada ulasan: