06 Disember 2021

Amukan Semeru ranapkan Lumajang

 

KEADAAN jalan yang terputus akibat letusan Semeru di kampung Sumber Wuluh, Lumajang, Indonesia. - AFP

LUMAJANG: Jumlah korban akibat letusan Gunung Berapi Semeru meningkat kepada 14 orang semalam, ketika operasi mencari dan menyelamat mangsa (SAR) masih diteruskan oleh pasukan kecemasan.
Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Abdul Muhari berkata, jumlah itu meningkat selepas pasukan penyelamat menemukan lebih banyak mayat mangsa.

Katanya, daripada jumlah tersebut, hanya dua mayat baru dikenal pasti identiti dan selebihnya masih dalam proses pengecaman.

“Semua mangsa yang cedera sudah dihantar ke beberapa hospital serta pusat kesihatan untuk menerima rawatan.

“Jumlah mangsa cedera juga semakin bertambah, malah ada beberapa pusat kesihatan tidak mempunyai peralatan mencukupi untuk merawat mereka,” katanya.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 102 penduduk cedera dengan kebanyakannya mengalami luka melecur antara 18 hingga 70 peratus.

Sehubungan itu, Abdul Muhari memberitahu, BNPB sudah menghubungi Pusat Krisis Kementerian Kesihatan untuk penyaluran bantuan ubat-ubatan dan peralatan merawat.

Jelas beliau, kebanyakan mangsa yang cedera mengalami luka melecur, malah ada yang parah.

KAWASAN TERUK TERJEJAS

Setakat ini, Dusun Kamar A di Desa Curah Kobokan di Candipuro merupakan kawasan paling teruk terjejas akibat letusan gunung berapi tersebut.

Keadaan diburukkan apabila jambatan yang menghubungkan perkampungan tersebut dengan jalan utama terputus, menyebabkan pasukan penyelamat tidak dapat mengakses sepenuhnya laluan ke kawasan itu.

Ketua Darurat dan Pemulihan BNPB Daerah Lumajang, Joko Sambang berkata, operasi SAR juga akan disertai oleh pasukan keselamatan dari Malang.

ANGGOTA penyelamat memantau kawasan yang terjejas di Lumajang, Indonesia. – AFP

Katanya, bantuan itu diperlukan untuk membawa keluar semua penduduk di Curah Kobokan yang sehingga kini dilaporkan masih ramai tidak dapat keluar susulan jambatan terputus.

Joko menggambarkan, situasi di perkampungan itu berdepan kesukaran akibat debu panas yang dihamburkan oleh Semeru.

“Keadaan jalan di sana menjadi licin berikutan hujan debu panas, selain banyak kediaman dilitupi mendapan lahar yang tebal.

“Saya sudah menghubungi pasukan keselamatan di sana dan mereka memaklumkan, operasi SAR mungkin berdepan kesukaran susulan keadaan yang tidak stabil,” ujarnya.

TIADA AMARAN AWAL

Penduduk di Curah Kobokan memaklumkan, mereka tidak dimaklumkan mengenai tanda-tanda Semeru akan meletus sebelum kejadian itu berlaku.

Hal ini kerana, Sistem Amaran Awal (EWS) tiada di perkampungan tersebut, walhal ia amat penting untuk memaklumkan kepada penduduk mengenai bahaya yang bakal menimpa.

Joko memaklumkan, hanya terdapat seismometer di daerah Dusun Kamar A dan alat itu digunakan untuk memantau pergerakan air di gunung berapi tersebut.

Katanya, letusan Semeru juga tidak dapat dikesan susulan kabus tebal melitupi gunung berapi tersebut.

“Berdasarkan maklumat yang saya terima, Gunung Semeru dilitupi kabus tebal, namun rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di pos pemantau Gunung Sawur mengesan kepulan asap, tetapi tiada gegaran,” jelasnya.

BEKALAN ELEKTRIK MULA PULIH

Dalam pada itu, bekalan elektrik yang terputus akibat letusan Semeru sudah semakin pulih.

Pada awalnya, dianggarkan 30,523 penduduk di Lumajang bergelap selepas elektrik terputus akibat letusan tersebut.

Ketika ini, sebanyak 7,508 penduduk sudah menerima semula bekalan elektrik dan dijangka keadaan semakin pulih dalam tempoh terdekat.

UTUSAN.


Tiada ulasan: