ARAU : Pada awalnya, Muhammad Thabrani Azhar,35, yang sudah 13 tahun bekerja sebagai pembantu pengurus cawangan di sebuah pasar raya terkenal di negara ini agak berat untuk melepaskan jawatan tersebut.
Namun, demi menerokai pengalaman baharu, dia sanggup mengambil risiko mengeluarkan modal hasil simpanan dan pinjaman sehingga RM250,000 bagi memulakan perniagaan sendiri dengan menjual daging dan makanan sejuk beku di Taman Tengku Budriah, Pauh di sini sejak April lalu.
Bagaimanapun, selepas lapan bulan, perniagaan daging dan makanan sejuk beku yang diusahakan bapa kepada dua orang itu berkembang maju dan diterima orang ramai sekali gus mampu menjana hasil jualan sehingga hampir RM100,000 sebulan.
Pada awal perniagaan, pemilik kedai Seri Perlis itu sebenarnya berdepan kesukaran apabila negara berada dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun Muhammad Thabrani tidak pernah sesekali berputus ada dan terus bertahan sehingga akhirnya mampu mencapai kejayaan.
Katanya, kedainya menawarkan daging kambing dan kerbau serta produk istimewanya, makanan laut sejuk beku seperti janggut sotong kurita, sotong besar, udang, ketam raja alaska, udang karang dan pelbagai lagi.
Ujarnya, kebanyakan daging dan makanan sejuk beku tersebut diimport dari Australia, New Zealand, India, Brazil, China dan Pakistan.
Katanya, daging dan makanan sejuk beku tersebut ditawarkan dari harga serendah RM15 sehingga RM150 sekilogram.
“Saya mengambil risiko berhenti kerja dan memulakan perniagaan kerana melihat potensi daging dan makanan sejuk beku ini di Perlis. Sebelum ini, tidak ramai yang menjual makanan dan daging sejuk beku secara khusus di Perlis.
“Pengalaman sebagai pengurus bahagian pasar basah di salah sebuah pasar raya sebelum ini sememangnya banyak membantu ketika saya memulakan perniagaan ini.
“Antara kelebihan yang kita tawarkan ialah daging dan makanan sejuk beku itu ditawarkan mengikut pelbagai jenis bahagian yang kebanyakannya tidak ada dalam pasaran di negeri ini. Jadi, orang ramai tidak perlu pergi jauh bagi mendapatkan makanan sejuk beku tersebut kerana kami menawarkannya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Muhammad Thabrani, sambutan yang diterima cukup memberangsangkan dan mereka juga menerima respon yang cukup positif daripada para pelanggan.
Katanya, kebanyakan pelanggan agak teruja kerana pelbagai jenis daging dan makanan sejuk beku yang ditawarkan di kedai mereka jarang ditemui di Perlis sebelum ini.
Selain itu, mereka juga menyediakan perkhidmatan percuma potong bahagian mengikut saiz seperti dikehendaki pelanggan sekali gus memudahkan para pembeli.
“Kita juga mempunyai perancangan mengeluarkan daging perap jenama sendiri dalam tempoh terdekat ini selain menyediakan platform jualan secara dalam talian. Istimewanya lagi, kita juga menawarkan minuman percuma kepada pelanggan,” katanya.
Tambahnya, kedai tersebut dibuka pada setiap hari dari pukul 8.30 pagi sehingga 6.30 petang.
Orang ramai boleh melayari Facebook SeriPerlis Frozen untuk melihat sendiri pelbagai jenis makanan dan daging sejuk beku yang ditawarkan dan untuk tempahan boleh menghubungi Muhammad Thabrani di talian 012-6005145. – UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan