06 Disember 2021

Letusan Gunung Berapi Semeru: 14 maut, 41 melecur

 

Kediaman penduduk di daerah Lumajang, timur Jawa yang kini ditenggelami abu kesan aliran deras lahar Gunung Berapi Semeru yang meletus Sabtu lalu. (FOTO Reuters)

JAKARTA: Usaha diteruskan pada Isnin (6 Dis) untuk  mencari dan menyelamatkan mangsa susulan letusan Gunung Semeru di barat Jawa, Indonesia pada Sabtu (4 Dis) dengan laporan terbaharu 14 orang disahkan maut, manakala 56 mangsa tercedera dengan 41 daripadanya melecur kesan lahar gunung berapi tersebut.


Sekurang-kurangnya 11 kampung di daerah Lumajang di lokasi kejadian kini ditenggelami abu, kesan aliran arus deras lahar gunung berapi berkenaan, dengan kebanyakan kediaman penduduk ditenggelami sehingga ke paras bumbung.

Seorang saksi di lokasi kejadian di Lumajang, Taufiq Ismail Marzuqi berkata, pihak polis dan tentera Indonesia telah bertungkus lumus menggali tanah dengan menggunakan tangan bagi mengeluarkan mangsa, lapor Reuters.

“Saya melihat 10 penduduk dibawa oleh arus deras. Penduduk di sini menyangka berlaku kejadian banjir yang sering berlaku di kawasan ini. Kami tidak tahu ia sebenarnya (arus) lahar panas (Gunung Berapi Semeru).  Tiba-tiba sahaja langit menjadi gelap dan hujan turun,” ujar pula seorang seorang penduduk di Kampung Renteng, Salim, menurut laporan AFP.

Sementara Timbalan Ketua Daerah Lumajang, Jawa Timur, Amperawati Masdar berkata, aliran lahar gunung berapi tersebut hampir  hampir memusnahkan perkampungan Curahkobokan dan menyebabkan sebuah jambatan runtuh, menyukarkan usaha pemindahan penduduk di kawasan berkenaan, lapor The New York Times

Gunung Semeru yang kali terakhir meletus pada 16 Januari 2021 merupakan salah satu gunung berapi paling aktif di Indonesia dan merupakan gunung tertinggi di pulau Jawa. Ia adalah antara lebih daripada 120 gunung berapi aktif di Indonesia; dengan beberapa ratus  gunung berapi yang lain kini dianggap sudah pupus. – HARAKAHDAILY 6/12/2021

Tiada ulasan: