KUALA LUMPUR: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) menyasar untuk membuka kedai Mesra Mart pertama di luar stesen minyak PETRONAS seawal suku pertama tahun depan, khusus untuk dikendalikan oleh usahawan Bumiputera.
Langkah itu akan direalisasikan menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai oleh TERAJU dengan Petronas Dagangan Bhd (PDB) pada majlis Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Md Silmi Abd Rahman, kedai Mesra Mart itu akan ditawarkan secara francais bagi membolehkan lebih ramai usahawan Bumiputera menyertainya.
"Ini wawasan kita, untuk membabitkan lebih ramai penyertaan Bumiputera ke dalam bidang peruncitan," katanya kepada BH, hari ini.
Beliau berkata, menerusi MoU itu, TERAJU menyasar untuk mewujudkan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan sehingga 2030.
Katanya, kedai itu disasarkan untuk dibuka di seluruh negara membabitkan penyertaan usahawan Bumiputera.
"TERAJU akan bertindak sebagai pemudahcara dengan menyediakan latihan dan akses pembiayaan kepada usahawan yang berminat, manakala PETRONAS pula menyediakan jenama, rantaian bekalan dan sistem yang digunapakai.
"Kami akan bersama-sama PETRONAS meninjau lokasi yang bersesuaian untuk membuka kedai Mesra Mart ini," katanya.
TERAJU turut memeterai enam lagi MoU bersama rakan strategik termasuk Microsoft Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan Brainy Bunch, Yayasan Sabah, Sarawak Digital Economic Corporation, Technology Depository Agency dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Mengenai kerjasama TERAJU dengan MAIWP dan Brainy Bunch, Md Silmi berkata, empat tadika masjid yang dikendalikan MAIWP akan dinaik taraf dari segi kualiti pendidikannya oleh Brainy Bunch.
"Sebagai permulaan, empat tadika ini akan dinaik taraf dengan mengaplikasi kaedah pembelajaran Brainy Bunch.
"Malah, guru tadika ini juga akan menerima latihan daripada Brainy Bunch, sekali gus memanfaatkan hampir 120 pelajar di empat tadika terbabit.
"Jika berjaya, kami bercadang untuk mengembangkan kerjasama ini dengan majlis agama Islam di negeri lain pula," katanya.
BHARIAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan