12 Januari 2012

30 petani, penternak kecewa

18 Safar 1433H. [MOD] -

IPOH – Seramai 30 petani dan penternak yang telah menjalankan aktiviti pertanian di kawasan Lahat, Papan tidak berpuas hati dan kecewa dengan tindakan kerajaan bagi meneruskan projek tapak pelupusan sisa pepejal di kawasan terbabit.

Timbalan Pengerusi DAP, V Sivakumar berkata, projek tapak pelupusan sisa pepejal itu melibatkan tanah seluas 224 hektar yang jika dilaksanakan akan menimbulkan pelbagai masalah terutama kepada penduduk setempat khususnya para petani dan penternak yang telah menjalankan aktiviti pertanian sejak hampir 20 tahun lalu.

“Aktiviti pertanian di kawasan berkenaan semakin menunjukkan hasil yang membanggakan kerana sehingga kini ia mampu memenuhi kehendak pasaran tempatan.

“Malah kawasan itu juga sebenarnya adalah antara tempat yang sesuai untuk dijadikan satu hub agro pelancongan pertanian,” katanya pada sidang media di Wisma DAP Negeri, semalam.

Tambah beliau lagi, walaupun ia berpotensi sebagai tempat hub agro pelancongan pertanian, namun kerajaan tetap memilih tempat tersebut untuk dijadikan kawasan tapak pelupusan sisa pepejal.

“Lebih membimbangkan apabila projek ini diteruskan kerana semua petani dan penternak terpaksa disingkirkan.

“Malah mereka juga telah menerima notis berpindah dari kawasan itu dalam tempoh 14 hari bermula 28 Disember lalu dan berakhir hari ini (semalam),” katanya.

Katanya, dalam situasi berkenaan ia tidak adil kepada petani dan penternak kerana mereka telah mengusahakan tanah tersebut sejak puluhan tahun yang lalu.

Sivakumar berkata, rata-rata penduduk yang berada di kawasan berkenaan begitu risau apabila mengetahui kawasan itu akan terus dijadikan tapak pelupusan sisa pepejal.

Katanya, apabila tapak pelupusan sisa pepejal itu mula beroperasi, sampah-sampah dari kawasan Ipoh, Kampar dan Batu Gajah akan dibuang di situ.

“Keadaan tersebut sekali gus akan mengancam kebersihan dua sungai yang berada di kawasan berhampiran,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sivakumar berkata, Adun Hulu Kinta, Datuk Rusnah Kassim sebelum ini juga pernah mengeluarkan kenyataan bahawa tapak pelupusan sampah di Bercham akan ditutup dan akan dipindahkan ke Papan.

“Malah dalam kenyataan itu juga difahamkan bahawa tapak pelupusan sampah di Bercham menerima sebanyak 650 tan sampah dalam tempoh masa sehari.

“Oleh itu, rata-rata penduduk begitu bimbang jika semua sampah dibuang di Lahat, Papan, tidak mustahil jumlahnya boleh meningkat hingga 800 tan sehari,” katanya.

Menurutnya, mereka semua tidak mahu masalah yang dihadapi penduduk Bercham kini berpindah pula kepada penduduk kawasan Lahat, Papan.

“Tempat yang dipilih ini hanya mempunyai jarak sejauh tiga hingga empat kilometer sahaja dari kawasan penempatan penduduk,” katanya.

Sivakumar berkata, pada 3 Januari lalu beliau telah pun berjumpa dengan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim bagi memaklumkan tentang bantahan penduduk berhubung isu berkenaan.

“Namun agak mengecewakan apabila beliau memaklumkan bahawa kawasan berkenaan adalah yang paling sesuai kerana aktiviti lain tidak boleh dilakukan berikutan kawasan berkenaan mungkin mempunyai kesan radio aktif,” katanya.

Katanya, pada 30 Jun lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut menyatakan bahawa projek itu tidak sesuai dilaksanakan di kawasan terbabit dan ia sudah pun dihentikan dan penduduk juga gembira dengan keputusan itu,” katanya.

Bagaimanapun, Disember lalu penduduk kembali resah apabila Datuk Bandar menyatakan kawasan itu sesuai dijadikan tapak pelupusan sampah dan seramai 1,558 penduduk telah menurunkan tandatangan sebagai bantahan.

“Bantahan tersebut telah pun diserahkan kepada Datuk Bandar Ipoh, namun sehingga ke hari ini kita masih belum menerima sebarang maklum balas lagi.

“Kita amat berharap semua pihak termasuk Menteri Besar, Datuk Bandar, Pegawai Daerah bersama-sama penduduk dapat duduk berbincang mengenai masalah ini,” katanya.


Penduduk tak puas hati

Seorang penternak yang ditemui, Chong Yin Kean, 38, berkata, beliau dan penduduk yang lain memang tidak berpuas hati dengan cadangan projek berkenaan kerana ia memberi impak besar kepada semua petani.

“Kami di sini sudah lama menjalankan aktiviti pertanian dan semuanya akan musnah dalam sekelip mata jika projek itu tetap diteruskan,” katanya.

Jelas beliau, semua petani di kawasan berkenaan begitu bimbang kerana hari ini juga adalah hari terakhir notis yang diterima.

“Tetapi semua penduduk tidak akan berganjak selagi perkara ini tidak dibincangkan dengan selanjutnya, tambahan pula tempoh notis selama 14 hari yang diberikan itu adalah tidak memadai.

“Ke mana kami hendak pergi dan di mana kami hendak tinggal jika esok kami perlu mengosongkan kawasan berkenaan,” katanya.


MBI adakan lawatan

Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, setelah menerima surat bantahan daripada penduduk setempat beliau bersama dengan pihak Unit Perancang Ekonomi (Upen) telah mengadakan lawatan ke kawasan berkenaan.

“Tempat itu adalah yang paling sesuai dan sampah-sampah akan mula di tempatkan di kawasan berkenaan lebih kurang bulan April ini, jadi kerja-kerja awal sudah dimulakan.

“Malah saya juga tidak menerima sebarang arahan untuk memberhentikan perjalanan projek berkenaan daripada Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata, difahamkan bahawa tapak pelupusan di Lahat adalah berbeza jika dibandingkan dengan Bercham kerana ia adalah kawasan lembah yang dikelilingi dengan bukit iaitu zon penampan semula jadi.

“Berdasarkan laporan kawasan itu memang sesuai kerana jarak dengan kawasan penempatan penduduk adalah lebih kurang tiga hingga ke lima kilometer,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kesan radio aktif di kawasan tersebut, Roshidi menjelaskan berdasarkan laporan yang diterima ia memang tidak mempunyai sebarang kesan radio aktif di situ.

“Jadi segala-galanya akan berjalan seperti biasa kerana apabila tapak pelupusan sampah itu mula beroperasi dijangka April ini, maka tapak pelupusan di Bercham akan mula ditutup,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: