12 Januari 2012

Sandarkan e-mel, PKR mahu SPRM siasat ketua NFC

18 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - PKR mahu Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail disiasat oleh Suruhanajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa bersubahat dalam cubaan menyogok pegawai kanan polis yang menyiasat projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Pengarah Strateginya Mohd Rafizi Ramli berkata, langkah itu harus diambil berdasarkan kenyataan umum melalui e-mel yang dibuat oleh salah seorang ahli Lembaga Penasihat SPRM, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas, yang dilihat jelas menunjukkan Mohamad Salleh terlibat dalam cubaan merasuah polis.

Pada 22 Disember lalu, seorang ahli peniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail, 45, didakwa mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua tuduhan menipu Mohamad Salleh.

Menurut Rafizi, antara lain kandungan e-mel itu merujuk kepada perbualan antara Megat Najmuddin dan peguam-peguam yang mewakili NFC dan Mohamad Salleh akhir bulan lalu.

"Sekarang ini SPRM boleh campur tangan untuk menyiasat, kalau tidak, sebelum ini perkara ini adalah urusan polis," katanya.

Tambah Rafizi, Megat Najmuddin adalah seorang tokoh yang dihormati dan memegang jawatan penting dalam negara.

Beliau juga merupakan ahli Lembaga Petronas, Presiden Institute of Corporate Governance dan Penasihat Bank Negara.

"Beliau juga ahli Lembaga Disiplin Umno dan juga merupakan kenalan rapat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Rafizi berbata, kenyataan Megat Najmuddin perlu dipandang serius oleh SPRM kerana memberi pendapat bahawa wujud unsur rasuah dan keterbabitan Mohamad Salleh dalam cubaan merasuah polis.

Sementara itu, Rafizi berkata, beliau akan membuat satu laporan SPRM berkenaan perkara ini di pejabat SPRM Shah Alam pada jam 3.30 petang ini.

Sinar Harian

Tiada ulasan: