12 Januari 2012

Pantang dalam penjara

18 Safar 1433H. [MOD] -

AYER KEROH - Seorang ibu beranak dua, terpaksa meringkuk dalam penjara selama tujuh hari dan didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Aisyah Abd Wahid, 30, dari Duyong, di sini, didapati bersalah mencuri pakaian, permainan dan peralatan bayi bernilai lebih RM1,000 di sebuah pasar raya, November tahun lalu.

Aisyah mengaku bersalah di hadapan Majistret Muh­mammad Hazri Hanafi.

Berdasarkan pertuduhan, Aisyah didapati dengan niat curang mencuri 30 barangan termasuk pakaian, peralatan bayi dan permainan kanak-kanak, berharga RM6.90 sehingga RM158, dengan nilai keseluruhan RM1,451.10 di Jaya Jusco Ayer Keroh, kira-kira jam 5.20 petang pada 10 November 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan boleh didenda dan bagi kesalahan kali kedua atau lebih boleh dipenjara dan denda atau sebat.

Aisyah dalam rayuannya memohon mahkamah memberikan hukuman ringan kerana dia terdesak melakukan perbuatan tersebut berikutan tidak bekerja dan mahu memenuhi keperluan dua anaknya, berusia sebulan dan 4 tahun.

Suaminya pula hanya bekerja sebagai kerani di Kuala Lumpur dengan pendapatan RM1,000 sebulan.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa, Inspektor Muha­ther Mohd Kudus meminta mahkamah memberikan hu­kuman sewajarnya kerana kes sama sering berlaku di pasar raya yang sama.

Muhammad Hazri kemudian menjatuhkan huku­man tersebut, selain memerintahkan tertuduh supaya di­pen­jara tiga bulan jika gagal membayar denda.

“Sebagai ibu, tidakkah kamu berasa bersalah memberi anak kamu memakai pakaian, menggunakan botol susu dan bermain permainan yang dicuri?.

“Dengan hukuman yang diberikan, saya berharap kamu selepas ini menjadi seorang ibu yang baik dan memberi semua barangan halal kepada anak,” katanya.

Sinar Harian

1 ulasan:

datuk berkata...

“Sebagai ibu, tidakkah kamu berasa bersalah memberi anak kamu memakai pakaian, menggunakan botol susu dan bermain permainan yang dicuri? Satu pertanyaan yang bernas dari Majistret....? Bukankah pertanyaan yang lebih patut dan sesuai adalah "Sebagai ibu, mengapakah kamu perlu memberi anak kamu memakai pakaian, menggunakan botol susu dan bermain permainan yang dicuri?" Dengan pendapatan sekeluarganya yang amat sedikit, apakah peranan Baitulmal serta pemimpin kerajaan yang beragama Islam dalam membantu umat Islam di Malaysia. Dia bukannya mencuri untuk berfoya-foya, melancung, membeli banglow serta kondo. Yang dicuri hanyalah keperluan asasnya.