12 Januari 2012

Rafizi kemuka bukti suami Shahrizat rasuah SPRM, polis

18 Safar 1433H. [MOD] -

PETALING JAYA 12 Jan: Pengarah Strategi KEADILAN, Mohd Rafizi Ramli mendedahkan bukti Pengerusi National Feedlot Corporation (NFC), Datuk Mohamad Salleh Ismail, cuba merasuah pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mohamad Salleh ialah suami Datuk Seri Shahrizat Jalil, yang didakwa menyelewengkan sebahagian dana NFC berjumlah RM250 juta.

Menurut Rafizi, beliau menerima emel dari ahli Lembaga Penasihat SPRM, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas yang mendakwa bertemu dengan seorang peguam mewakili Salleh, ketika satu makan malam, 22 Disember lalu.

Peguam berkenaan, kata Megat, memberitahu tentang perihal Salleh sebagai ‘kaki penipu’, ‘bermulut manis’ dan memberikan wang supaya Datuk Shamsubahrin Ismail, mempengaruhi polis dalam siasatan NFC.

Shamsubahrin ialah individu yang didakwa atas dua tuduhan menipu Mohamad Salleh membabitkan bayaran bagi perkhidmatan rundingan dan nasihat berjumlah RM1.755 juta, hujung Disember lalu.

Rafizi sebelum ini mendakwa wang berkenaan sebenarnya digunakan Salleh untuk menyogok pegawai penyiasat SPRM dan Polis melalui Shamsubahrin.

“Ia bukanlah wayang. Sekarang Dato’ NFC kita terdedah kepada dakwaan bersubahat di dalam cubaan merasuah polis. Sekarang ini SPRM boleh campur tangan untuk menyiasat, kalau tidak sebelum ini perkara ini adalah urusan polis,” email berkenaan dipetik.

Justeru itu, kata Rafizi, SPRM harus mengambil tindakan segera ekoran keterangan peribadi Megat yang mendedahkan wujudnya dakwaan Salleh cuba merasuah pihak berkuasa.

“Keterangan peribadi yang dibuat oleh Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas ini perlu diberi perhatian serius oleh SPRM.

“Apatah lagi apabila beliau menyatakan pendapatnya bahawa ada unsur rasuah dan keterbabitan Datuk Salleh di dalam cubaan merasuah polis yang membolehkan SPRM mengambil tindakan segera ke atas perkara ini,” katanya.

Ekoran itu, katanya KEADILAN akan tampil membuat laporan SPRM berkenaan perkara tersebut pada 12 Januari ini.

“KEADILAN akan membuat satu laporan SPRM berkenaan perkara ini pada jam 3.30 petang ini di pejabat SPRM Shah Alam, agar siasatan boleh dijalankan segera,” ujarnya.

Keadilan Daily

Tiada ulasan: