12 Januari 2012

Terus menangi hati rakyat untuk ke Putrajaya

18 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 12 Jan: Rakyat tidak akan memberi peluang kepada Barisan Nasional dan Umno untuk memerintah pada pilihan raya umum akan datang dengan pelbagai isu yang membebani parti itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Disiplin, Datuk Dr Tan Kee Kwong.

Ketika merasmikan bilik gerakan JDM Sungai Mulia bagi Parlimen Wangsa Maju, malam tadi, Tan menegaskan keputusan mahkamah memutuskan Ketua Umum PKR, datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersalah juga akan menguatkan lagi sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

"Banyak isu yang dihadapi Barisan Nasional yang rakyat tidak mampu terima. Malahan baru-baru ini keputusan mahkamah yang mendapati Anwar tidak bersalah juga akan menambah sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat," katanya yang juga Penyelaras PKR Wangsa Maju di hadapan penyokong Pakatan Rakyat yang hadir.

Tambah beliau, anggota PKR dan Pakatan Rakyat harus bekerja dengan kuat untuk memenangi hati rakyat supaya sokongan itu berterusan hingga pilihan raya.

"Kita harus bekerja dengan kuat, kita harus menyampaikan mesej kepada rakyat, dan terus memenangi hati rakyat untuk kita tawan Putrajaya pada pilihan raya akan datang," kata bekas timbalan menteri itu lagi.

Harakah Daily

Tiada ulasan: