12 Januari 2012

Dakwat kekal dibenarkan

18 Safar 1433H. [MOD] -

PUTRAJAYA - Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan semalam, memutuskan penggunaan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) adalah harus.

Pengerusinya, Profesor Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, ia diputuskan berdasarkan dakwat tersebut tidak najis, tidak memudaratkan dan menyerap air.

“Dakwat itu jika digunakan umat Islam, ia boleh diserap air, jadi tidak menimbulkan masalah menunaikan sembahyang,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai perkara itu, di sini, semalam.

Mesyuarat berlangsung di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut dihadiri mufti, wakil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Kimia.

Pada Disember lalu, SPR mengumumkan dakwat kekal akan digunakan pada PRU13.

Dakwat itu berlainan dengan dakwat kekal disyorkan pada PRU 2008, namun tidak digunakan selepas keberkesanan kaedah tersebut dipersoalkan.

Abdul Shukor berkata, ujian dijalankan Jabatan Kimia dan Kementerian Kesihatan mendapati penggunaannya tidak memberi kesan sampingan.

Katanya, keputusan itu tertakluk kepada penggunaan dakwat berdasarkan sampel sama yang telah diberikan kepada Jawatankuasa Fatwa.

“Jika SPR mahu menggunakan dakwat jenis lain, keputusan lain perlu dibuat, tetapi difahamkan, SPR hanya menggunakan dakwat yang sama,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: