12 Januari 2012

Peniaga tak jaga sensitiviti

18 Safar 1433H. [MOD] -

PUCHONG – Barang makanan halal dan tidak halal di tempat yang sama dalam kebanyakan premis kedai serbaneka di sekitar Puchong menimbulkan rasa kurang senang Jabatan Pemakanan dan Hal Ehwal Islam Lembaga Pelindung Kebajikan dan Pengguna Malaysia (LPKPM).

Pengerusinya, Abdul Aziz Ismail berkata, tinjauan di kebanyakan premis kedai seperti itu mendapati, pengusaha tidak mengasingkan makanan dan minuman halal dengan tidak halal sehingga mungkin boleh mengelirukan pengguna.

Katanya, lebih menyedihkan majoriti kedai seperti itu juga tidak memohon sijil halal pihak berkuasa agama dan mengabaikan hukum syarak sepenuhnya.

“Hampir 80 peratus premis kedai serbaneka dan kedai 24 jam dikunjungi didapati tidak mengamalkan kaedah dalam sijil halal.

“Kalau ada pun yang mengamalkan hanya sebahagiannya dan menjadikan pematuhan kepada peraturan pihak berkuasa dan jabatan agama negeri seperti perkara yang boleh dipermainkan,”katanya.

Abdul Aziz berkata, lebih mengecewakan apabila masih ada pekerja Islam bertudung memegang makanan dan minuman tidak halal di kaunter urus niaga dan juga di rak penyusunan.

“Disebabkan kebanyakan premis tidak mempunyai sijil halal, pelaksanaan hukum syarak tidak dijalankan dengan sempurna.

“Pekerja Islam bebas memegang makanan tidak halal menyebabkan timbulnya situasi yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang Islam yang lain,”katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kata beliau lagi, meskipun pengusaha ada meletakkan nota makanan tidak halal di rak barangan namun ia masih dilihat tidak mengikut pensijilan halal apabila makanan itu diletakkan sekali dengan makanan halal.

“Pengusaha pasar raya serbaneka di minta menjaga sensitiviti agama Islam di negara ini dengan mengasingkan jualan halal dan tidak halal. .

“Malah kami juga rayu mereka memohon sijil halal kerana jika tiada, pihak berkuasa negeri tidak mengetahui bagaimana peletakan kedua-dua jenis makanan diletakkan dalam premis,”katanya.

Tambahnya, agensi kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lain-lain pihak termasuk masyarakat perlu dididik mengenai Halalan Toyyiban.

“LPKPM merayu orang ramai supaya melaporkan sebarang aktiviti tidak sihat demi menjaga keselamatan di talian 03-4010 1130 atau emel kepada abdulazizismail0103@gmail.com,”katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: