12 Januari 2012

Fitnah II: Pendakwa tiada asas kemuka rayuan

18 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 12 Jan: Naib Presiden KEADILAN, N Surendran berkata, pihak pendakwaan dalam kes fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai asas mengemukakan rayuan.

Beliau mengulas tindakan pihak pendakwa yang mahu membuat rayuan berhubung keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, yang membebaskan Anwar dari tuduhan liwat, Isnin lalu.

Dalam laporan Buletin Utama, TV3 semalam, Peguam Cara II Negara, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dipetik berkata, cadangan berkenaan akan dikemukakan kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

“Saya menyatakan adalah amat tidak munasabah bagi peguam negara untuk memfailkan rayuan terhadap pembebasan ketua pembangkang,” ujar Surendran.

“Tidak ada keterangan munasabah yang dipercayai atau apa-apa asas untuk memfailkan rayuan terhadap Datuk Seri Anwar. Keputusan hakim Zabidin adalah betul melihat kepada keterangan yang telah disampaikan kepada mahkamah,” tegas beliau.

Justeru itu, Surendran meminta peguam negara tidak menurut arahan politik daripada Umno-BN untuk memfailkan rayuan berhubung keputusan tersebut.

“Saya juga memberi amaran kepada Umno supaya jangan menggunakan pengaruh politik untuk mengarahkan rayuan difailkan,” tegasnya yang juga peguam.

Menyokong kenyataan Majlis Peguam, Surendran berkata, sesuatu rayuan hanya boleh difailkan sekiranya didapati mahkamah menolak bukti kukuh sepanjang perbicaraan.

“Rayuan hanya dibuat apabila sesuatu kes yang kukuh telah ditolak mahkamah, tetapi di sini tiada kes terhadap ketua pembangkang, tambahan ia tajaan politik Umno-BN,” ujarnya.

Pada Isnin lalu, Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah membebaskan Anwar dari tuduhan meliwat bekas pembantu beliau, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ketika membuat kesimpulannya, Zabidin berkata kedua-dua bukti iaitu DNA dan juga bukti lisan tak boleh mensabitkan ahli parlimen Permatang Pauh itu bersalah.

Keadilan Daily

1 ulasan:

Awanama berkata...

Biarkan Mereka Merayu, Rakyat tak sabar-sabar nak tengok lakunan LAWAK BODOH Maharaja Lawak 2012 mereka tu nanti.