20 November 2021

4,009 graduan UPSI terima ijazah, diploma

 GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP

GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP

Kuala Lumpur: Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) ke-22 yang bermula hari ini, menyaksikan seramai 4,009 graduan bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing.

Daripada jumlah itu, 88 graduan menerima ijazah doktor falsafah (PhD), 684 ijazah sarjana, ijazah sarjana muda (2,572), Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (343) dan 322 graduan diploma.

Istiadat konvokesyen di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, di sini, berlangsung sehingga 26 November disempurnakan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim yang juga Canselor Upsi.

Baginda turut berkenan mengurniakan anugerah Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Sukan kepada Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria serta mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan kepada tokoh perbankan negara, Tan Sri Azman Hashim, manakala usahawan pertanian, Datuk Syed Elias Syed Ahmad dikurniakan Ijazah Kehormat Sains Pertanian.

Selain itu, Prof Dr Omar Abdull Kareem yang pernah berkhidmat bersama Upsi dari 2002 hingga tahun lalu dikurniakan gelaran Profesor Emeritus berikutan ketokohannya dalam dunia akademik.

Naib Canselor Upsi Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, impak Covid-19 yang melanda negara memberi kesan kepada pelaksanaan Istiadat Konvokesyen Upsi ke-22.

"Berdepan kemelut Covid-19, Upsi mencapai pelbagai kejayaan yang membanggakan, hasil perjuangan seluruh kakitangan dan juga mahasiswa.

"Graduan pendidikan diterapkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai asas jati diri seorang guru manakala graduan pasaran terbuka pula dilengkapkan dengan kemahiran keusahawanan, teknologi digital, komunikasi berkesan dan penyelesaian masalah, agar mereka berupaya mencipta peluang pekerjaan," katanya ketika berucap hari ini.

Beliau turut menasihatkan graduan supaya memiliki rasa bangga dan 'Demi Upsi' sebagai denyut nadi yang berdetak dalam sanubari mereka sepanjang masa selepas berjaya menamatkan pelajaran.

Md Amin berkata, kejayaan yang dicapai Upsi kini seharusnya menjadi kebanggaan kepada graduan terutama ketika universiti bersejarah itu bakal menyambut ulang tahun ke-100 penubuhannya bermula 29 November ini sehingga acara kemuncak pada 29 November tahun depan.

"Dengan mengambil inspirasi pengorbanan ibu bapa yang berdepan dengan pelbagai cabaran terutamanya sejak Covid-19 melanda, graduan perlu mengambil iktibar dan menjadikan insan hebat ini sebagai suri teladan dalam hidup," katanya.

HMETRO.

Tiada ulasan: