20 November 2021

PRN Melaka: Tiada barong panas, semua patuh SOP

 

Majid mengadakan lawatan di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Mas di sini, hari ini.

MELAKA – Perjalanan proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) di 217 pusat mengundi sejak pukul 8 pagi tadi berjalan lancar tanpa sebarang provokasi atau kemunculan barong panas.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, sehingga pukul 11.30 pagi tadi, hasil pemantauan pasukannya mendapati semua pihak termasuk calon, jentera parti politik dan pengundi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, proses pengundian di kesemua pusat mengundi berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini atau provokasi berunsurkan politik.

“Apa yang paling baik sekali proses PRN Melaka ini, langsung tiada barong-barong panas berhampiran pusat mengundi dibuka yang boleh mencetuskan provokasi.

“Ini menunjukkan pengundi dan parti-parti politik kini semakin matang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga profesional dan tahniah kepada orang Melaka kerana kematangan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Mas di sini, hari ini. – K! ONLINE

Tiada ulasan: