20 November 2021

Anak muda berebut ‘selfie’ dengan saya – Mas Ermieyati

 

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH: 
“Rasa teruja dan yakin. Ramai anak muda yang mahu selfie dengan saya,” kata calon Perikatan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin.


Menurut beliau ini membayangkan kecenderungan yang tinggi anak muda terhadap Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15 ini.

Beliau ditemui Harakahdaily semasa membuat lawatan ke Pusat Mengundi SK Lubok Redan dalam DUN Tanjung Bidara.

Wartawan yang berada di lokasi sempat merakam gambar beberapa orang pengundi yang kebanyakannya daripada golongan muda yang mengambil kesempatan berselfie bersama tokoh kesayangan mereka ini.

Mengulas mengenai pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di pusat-pusat mengundi, Mas Ermieyati berkata, beliau melihat terdapat beberapa perbezaan pelaksanaan antara satu pusat mengundi dengan pusat mengundi yang lain.

“Saya tengok persiapan dan SOP ada yang berbeza-beza. Sebagai contoh di SK Jeram tadi kita tengok ada banyak logo pengimbas kod QR. Jadi mudah untuk pengundi-pengundi, tidak perlu beratur panjang.

“Dan di sini (Pusat Mengundi SK Lubok Redan) pula, ada banyak disediakan kerusi untuk menunggu jika di kawasan bilik mengundi penuh. Jadi ada banyak ruang,” ujar beliau.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan terhadap petugas-petugas Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dan petugas-petugas barisan hadapan yang membantu.

Mas Ermieyati pada Khamis juga telah diumumkan sebagai calon Ketua Menteri Melaka bagi Perikatan Nasional oleh Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tinjauan Harakahdaily juga mendapati pengundi yang membuat semakan kepada kerani pengundi di dalam bilik saluran mengundi dilihat berdiri dalam kedudukan berjarak.

Pengundi juga akan diminta untuk membuka sebentar pelitup muka sebagai pengesahan ketika kerani pengundian membuat semakan nama dan kad pengenalan.

SPR juga menyediakan kerusi bagi pengundi-pengundi saluran satu yang sedang berbaris menunggu giliran untuk mengundi.

Tinjauan juga mendapati terdapat ruangan berasingan disediakan kepada mereka yang bergejala untuk mengundi. – HARAKAHDAILY 20/11/2021

Tiada ulasan: