20 November 2021

Projek litar lumba di Sungai Petani ikut pelan asal

  Muhammad Sanusi merasmikan pembukaan tapak sukan lasak Aras Niaga Extreme Park (ANeX) di Sungai Tok Pawang, Bedong, hari ini. NSTP/Noorazura Abdul Rahman

Muhammad Sanusi merasmikan pembukaan tapak sukan lasak Aras Niaga Extreme Park (ANeX) di Sungai Tok Pawang, Bedong, hari ini. NSTP/Noorazura Abdul Rahman

SUNGAI PETANI: Kerajaan negeri merancang meneruskan projek litar lumba di sini, seperti pelan asal selepas ia ditangguhkan berikutan pimpinan sebelum ini mengubah pelan litar itu mengikut standard antarabangsa.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata keadaan itu menyebabkan kos pembinaan litar itu meningkat daripada RM30 juta kepada RM70 juta.

Katanya, perancangan kerajaan negeri mengikut pelan asal dibuat supaya ia dapat dimanfaatkan anak muda dan penduduk tempatan.

"Pada peringkat awal (2017), kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi pembinaan litar lumba rakyat di Bandar Aman Jaya, Sungai Petani.

"Kerajaan terdahulu sudah membuat kerja tapak di sini membabitkan kos RM10 juta, kemudian datang (kerajaan selepas itu) dengan nafsu besar mahu buat litar berharga RM70 juta (standard antarabangsa), tetapi tidak cukup peruntukan menyebabkan projek terhenti.

"Perunding dipanggil dari Sepang International Circuit (SIC) bagi membolehkan projek itu dirancang lebih besar sehingga membabitkan kos mencecah RM70 juta," katanya selepas merasmikan Pembukaan Tapak Sukan Lasak Arasniaga Extreme Park (ANeX) di Sungai Toh Pawang, Bedong, di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, projek terbabit tidak dapat dilaksanakan berikutan kos terlampau tinggi termasuk lantikan perunding yang menelan perbelanjaan hampir RM1juta.

Justeru, katanya, kerajaan negeri kini melakukan rundingan bagi membangunkan semula projek litar lumba itu.

"Rundingan ini membabitkan sebuah syarikat terkemuka, Open Road Asia dengan Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan Menteri Besar Incorporated (MBI), bertujuan meneruskan projek terbabit mengikut pelan asal.

"Ketika ini rundingan kita lakukan untuk ubah Kebenaran Merancang (KM), selain kos membabitkan konsultan yang tinggi mencecah RM1 juta juga dibincang semula," katanya.

bharian.

Tiada ulasan: