20 November 2021

Senarai jawatankuasa RCI TH disembah kepada Agong Jumaat ini

 

IDRIS Ahmad (kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima Program TH Perihatin 2021 Negeri Perak di Pejabat TH Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI

IPOH: Senarai Jawatankuasa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Jumaat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, senarai akhir jawatankuasa tersebut yang melibatkan tujuh individu telah dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, semalam.

“Senarai jawatankuasa itu akan dipersembah kepada Seri Paduka oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perjumpaan mingguan, Jumaat ini.

“Sekiranya (senarai itu) mendapat perkenan Seri Paduka, baharu kita isytiharkan nama yang akan terlibat dengan RCI berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serahan Program TH Prihatin 2021 Negeri Perak di Dewan Utama, Pejabat TH Perak di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin; Pengarah Wilayah Tengah, Khairoddin Ahmad dan Pengarah TH Perak, Mohamad Abas.

Mengulas sama ada pelaksanaan RCI itu akan mengganggu operasi TH, Idris menjelaskan, operasi institusi kewangan tersebut akan berjalan seperti biasa.

“Sebarang aktiviti perniagaan termasuk urusan haji pendeposit tidak akan terganggu kerana isu-isu berbangkit mengenai TH adalah dari tahun 2014 hingga 2020.

“Dari segi operasi juga tidak terganggu kerana RCI ini dijalankan oleh kerajaan, bukannya TH,” katanya.

Media pada 14 Julai lalu melaporkan, kerajaan bersetuju menubuhkan RCI ke atas isu-isu berbangkit mengenai TH hasil pengauditan perunding-perunding dari tahun 2014 hingga 2020.

Antara terma RCI yang dipersetujui ialah skop RCI tertumpu kepada hasil penemuan perunding-perunding ke atas isu-isu berbangkit LTH sepanjang tempoh itu tetapi tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan LTH yang sedang dilaksanakan pada masa ini.

UTUSAN.


Tiada ulasan: