20 November 2021

Lelaki Malaysia menyamar doktor sakit puan di Singapura

 

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 36 tahun dituduh menyamar sebagai pakar ginekologi dari sebuah hospital swasta dan menjerat 10 wanita untuk menghantar gambar bahagian sulit mereka kepadanya.

Lelaki rakyat Malaysia itu, Ooi Chuen Wei, didakwa dengan sembilan pertuduhan melakukan penipuan melalui penyamaran semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 10 pendakwaan dikenakan terhadapnya.

Pada 13 November lalu, Chuen Wei dituduh menipu seorang wanita menggunakan modus operandi yang sama, menyebabkan dia direman sehingga kini.

Menurut kenyataan polis, lelaki itu didakwa menyamar menjadi pakar sakit puan wanita dan mengajak mangsa menyertai kempen 'kesedaran kesihatan wanita'.

Chuen Wei meminta gambar alat sulit daripada semua mangsanya dengan alasan untuk tujuan penyelidikan dan membuat satu profil Facebook yang menunjukkan kononnya dia seorang doktor wanita.

Lelaki itu, yang ditahan polis pada awal bulan ini, dituduh menipu 10 wanita antara April 2020 dan Oktober 2021.

Dokumen mahkamah menunjukkan Chuen Wei menjerat kesemua mangsanya untuk menghantar lebih 260 gambar bahagian sulit wanita termasuk payu dara dan kemaluan serta 41 video kandungan serupa.

Seorang daripada wanita itu ditipu Chuen Wei selama lapan bulan dari Disember 2020 hingga Ogos 2021, dengan menghantar 46 gambar dan 12 video menunjukkan bahagian sulitnya.

Lelaki itu dibenarkan ikat jamin sebanyak SGD15,000 (RM46,215) dan akan dihadapkan ke mahkamah sekali lagi pada bulan depan.

Jika bersabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda bagi setiap pendakwaan. - AGENSI

Tiada ulasan: