20 November 2021

UMK lunas hutang pelajar

 Suasana Istiadat Konvokesyen Kali ke 10 dan 11 Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor,UMK Bachok. FOTO UMK

Suasana Istiadat Konvokesyen Kali ke 10 dan 11 Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor,UMK Bachok. FOTO UMK

Bachok: Buat julung kali, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melunaskan hutang pengajian pelajarnya bagi membolehkan mereka mengikuti Istiadat Konvokesyen Ke-10 dan 11 universiti itu bermula hari ini.

UMK melangsaikan tunggakan berjumlah RM20,220 membabitkan sembilan pelajar pelbagai pengajian bagi sesi tahun 2018 hingga 2021.

Menurut Profesor Dr Nik Maheran Nik Muhammad yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMK, bayaran itu dibuat melalui tabung siswa bagi membantu pelajar kurang berkemampuan.

Katanya, UMK mengenal pasti 35 pelajarnya tidak dapat mengikuti konvokesyen kerana tidak menjelaskan bayaran pengajian akibat masalah kewangan.

"Tahun ini UMK membantu sembilan daripada mereka supaya dapat mengikuti majlis konvokesyen selepas menamatkan pengajian.

"Ini adalah salah satu usaha UMK bagi membantu pelajar yang mana 79 peratus pelajar kami adalah daripada keluarga berpendapatan rendah," katanya ketika ditemui di istiadat konvokesyen di Dewan Tuanku Canselor UMK Bachok di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Tuanku Canselor UMK, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra.

Nik Maheran berkata, sejak tiga tahun lalu jumlah keseluruhan tunggakan bagi pelajar yang belum bergraduat ialah RM35,000.

Dalam pada itu katanya, tahun ini UMK meraikan 3,857 pelajar gabungan dua konvokesyen serentak iaitu pelajar sesi 2021 dan 2020 yang ditunda akibat Covid-19.

Katanya, seramai 1,916 graduan bagi sesi 2020 dan 19,41 tahun ini menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah, Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA), Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Ijazah Sarjana Muda.

Sementara itu, salah seorang penerima tabung siswa, Mohd Asmadi Zahari, 31 berkata, dia tidak menyangka dapat mengikuti konvokesyen kerana mempunyai tunggakan pengajian RM3,000.

Katanya, dia tidak berkemampuan kerana ibunya, Kamariah Awang Besar, 67 hanya bekerja kampung selepas kematian bapa, Zahari Ab Ruddin,70, dua bulan lalu akibat kencing manis.

"Saya cuba buat pelbagai kerja kampung seperti buruh pembinaan rumah dan membantu tukang paip tetapi namun tidak berjaya kumpul wang untuk melunaskan hutang pengajian.

"Saya sebenarnya sudah reda jika tiada peluang mengikuti majlis konvokesyen namun tiba-tiba dapat panggilan daripada UMK yang pihak universiti melunaskan hutang saya sekali gus boleh hadir majlis konvokesyen," katanya.

Anak bongsu lima beradik itu berkata, dia bersyukur dengan bantuan UMK meskipun majlis bersejarah dia menamatkan pengajian lima tahun itu tidak dapat dihadiri ibunya yang masih dalam edah kematian suami.

"Saya bercita-cita untuk menjalankan perniagaan dalam bidang pertanian bagi menjamin masa depan," kata pelajar pengajian Keusahawanan dan Perniagaan (Perdagangan) itu.

hmetro.

Tiada ulasan: