20 November 2021

Aziah rayu keluar mengundi, tunai tanggungjawab

 

Oleh SAIDAH HAIRAN

MASJID TANAH:
 Calon Perikatan Nasional bagi DUN Kuala Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Aziah Saad mengundi di Sekolah Kebangsaan Tanjung Bidara, Kuala Linggi jam 1.30 tengah hari tadi.


Sebelum itu beliau meninjau proses pengundian di Sekolah Kebangsaan Sungai Tuang, Sekolah Menengah Rahmat, Sekolah Kebangsaan Ayer Jernih dan Sekolah Kebangsaan Kuala Linggi.

Beliau yang ditemui selepas mengundi merayu kepada pengundi khususnya golongan muda supaya keluar mengundi bagi membuat perubahan di negeri Melaka.

“Satu undi itu penting untuk mengembalikan kegemilangan Islam di negeri Melaka. Saya merayu kepada semua pengundi yang masih belum keluar mengundi, keluarlah mengundi sekarang,” katanya.

Beliau yang mesra dengan panggilan Cikgu Aziah melahirkan kebimbangan kerana sehingga jam 1.30 tengah hari peratus pengundi khususnya dalam kalangan anak-anak muda masih berkurangan.

DUN Kuala Linggi mempunyai jumlah pengundi seramai 10,928 orang.

Sebanyak 217 pusat pengundian telah dibuka jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

Pengundi di semua pusat pengundi mematuhi SOP yang ditetapkan iaitu penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka penggunaan sanitasi tangan, saringan suhu badan dan pengundi perlu mengimbas kod respon pantas (QR) MySejahtera sebelum masuk ke pusat pengundian.

PRN Melaka kali ini yang menyaksikan seramai 112 calon bertanding membabitkan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan Bebas.

Sebanyak lima kerusi iaitu DUN Rembia, Machap Jaya, Paya Rumput, Pengkalan Batu dan Bemban pula menyaksikan pertembungan lima penjuru.

Sembilan DUN menyaksikan pertandingan empat penjuru manakala 11 lagi DUN, tiga penjuru.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan keputusan penuh PRN Melaka paling awal diketahui pada pukul 10 malam. – HARAKAHDAILY 20/11/2021

Tiada ulasan: