20 November 2021

Pandemik paksa ramai penduduk India gadai emas

 Lebih ramai penduduk India menggadaikan atau menjual barangan emas mereka akibat terkesan pandemik COVID-19. - Foto AFP

Lebih ramai penduduk India menggadaikan atau menjual barangan emas mereka akibat terkesan pandemik COVID-19. - Foto AFP

MUMBAI: Wabak COVID-19 memaksa ramai penduduk India menjual atau menggadaikan aset yang paling mereka hargai, emas, demi kelangsungan hidup yang terjejas akibat pandemik.

Penutupan perniagaan dan kehilangan kerja mendorong lebih 230 juta penduduk India bergelut dengan kemiskinan tahun lalu.

Menurut kajian oleh Universiti Azim Premji, ramai bergelut untuk membayar sewa, yuran sekolah dan bil hospital, malah ada yang terdesak untuk membeli makanan harian.

Kesukaran mereka meningkat sejak beberapa minggu lalu ini ekoran kenaikan harga elektrik, bahan bakar dan barang keperluan lain.

Ramai keluarga dan perniagaan kecil mula mengumpulkan barangan emas mereka, sebagai pilihan terakhir serta jaminan untuk mendapatkan pinjaman jangka pendek.

Bank sudah mengeluarkan pinjaman terhadap barang kemas bernilai Rp4.71 trilion (RM265 bilion) dalam lapan bulan pertama tahun ini, melonjak 74 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya, menurut data bank pusat.

Emas mempunyai kepentingan kewangan dan budaya yang besar di India, dianggap penting dalam majlis perkahwinan, ulang tahun dan upacara keagamaan selain sebagai aset selamat boleh diwariskan dari satu generasi ke generasi berikutnya.

Pengarah Majlis Barangan Perhiasan dan Permata Tempatan India, Dinesh Jain, berkata tindakan itu terpaksa diambil.

"Ini kerana emas satu-satunya jaminan sosial bagi wanita atau rumah tangganya, ekoran tiada program jaminan sosial daripada pemerintah.

"Emas seperti tunai yang dicairkan. Kamu boleh mencairkannya bila-bila masa saja, siang dan malam," katanya.

Peniaga, Kumar Jain, 63, yang mengusahakan sebuah kedai warisan keluarganya di Zaveri Bazaar, Mumbai, yang berusia 106 tahun, memberitahu AFP bahawa beliau tidak pernah melihat begitu ramai orang datang untuk menjual emas.

"Tidak seperti sebelum pandemik, paling memilukan adalah ketika mereka menjual 'mangalsutra' (kalung perkahwinan) mereka sendiri," katanya.

"Sebelum ini, saya selalu abaikan perkara ini apabila ibu kerap mengingatkan supaya menyimpan emas tapi sekarang saya tahu, semua orang patut simpan emas," katanya. - AFP

Tiada ulasan: