04 November 2021

91 masjid, 14 surau di Johor dibenarkan laksana akad nikah

 

Negeri Johor membenarkan 91 masjid dan 14 buah surau melaksanakan majlis akad nikah secara bersemuka. - GAMBAR HIASAN

JOHOR BAHRU – Sejumlah 91 masjid dan 14 buah surau di seluruh Johor akan dibenarkan untuk mengadakan majlis akad nikah di dewan pusat ibadah berkenaan bermula 7 November ini.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah demikian dalam satu kenyataan yang bertujuan untuk menjaga dan menghidupkan syiar dan syariah Islam di seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, selain dewan masjid dan surau terpilih, beberapa lokasi lain turut dibenarkan untuk diadakan majlis akad nikah.

Katanya, lokasi tersebut adalah di Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Pejabat Kadi Daerah serta dewan dan balai raya.

“Pelaksanaan majlis akad nikah tersebut perlulah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Pekeliling berkenaan penganjuran majlis tersebut akan dikeluarkan dalam waktu terdekat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, program membudayakan Al-Quran, kuliah Maulidur Rasul, kuliah umum, kuliah khas, kuliah dhuha, kuliah zohor dan kuliah Jumaat adalah dibenarkan bermula hari ini dengan masa dihadkan hanya satu jam.

“Aktiviti lain yang turut dibenarkan termasuklah majlis zikir, selawat, program wirid dan tarikat.

“Sementara itu, aktiviti kemasyarakatan lain seperti gotong-royong pembersihan kawasan masjid dan surau dibenarkan manakala aktiviti bermalam masih ditangguhkan,” ujarnya.

Tambah Tosrin lagi, kehadiran penceramah, ahli masjid atau surau serta jemaah adalah tertakluk kepada mereka yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 sahaja.

“Namun kelonggaran diberi kepada individu yang mempunyai surat perakuan bertulis daripada Pejabat Kesihatan Daerah,” jelasnya. – K! ONLINE

Tiada ulasan: