04 November 2021

PRN Sarawak mungkin tengah Disember atau lebih awal, kata Annuar

 

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Annuar Rapaee menjangkakan pilihan raya negeri diadakan pada pertengahan Disember, namun tidak menolak kemungkinan ianya lebih awal. (Gambar Bernama)

SIBU: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Annuar Rapaee berkata beliau menjangkakan Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) Sarawak akan diadakan selewat-lewatnya pada pertengahan bulan Disember ini.

Beliau berkata perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah supaya Proklamasi Darurat di Sarawak ditamatkan memberi laluan kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sekaligus menamatkan penantian untuk PRN12 yang akan diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.

“Paling lambat saya rasa hari mengundi akan diadakan pada pertengahan bulan Disember. Tapi ianya boleh diadakan lebih awal daripada itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Mengulas kebimbangan berlaku peningkatan kes Covid-19 semasa pilihan raya itu kelak, Annuar yang juga Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam merangkap Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu berkata aktiviti kempen harus diberikan tumpuan yang kritikal kerana penularan boleh berlaku.

“Penularan akan dapat dielakkan sekiranya tiada rapat umum. Buat masa ini, hanya 100 orang sahaja yang dibenarkan untuk menghadiri mana-mana perhimpunan dan bagi pilihan raya itu sendiri, ia tiada isu,” katanya.

BERNAMA.

Tiada ulasan: