04 November 2021

PM lancar 4 pakej Lebuhraya Pan Borneo Sabtu ini

  Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual melancarkan projek Lebuhraya Pan Borneo bagi pakej pantai timur Sabah di Kinabatangan, Sabtu ini.

Beliau yang dalam rangka lawatan ke Sandakan dan Kinabatangan dijangka tiba di Lapangan Terbang Sandakan, petang esok sebelum bertolak ke Kinabatangan pagi Sabtu ini dan pulang ke Kuala Lumpur pada petang hari sama.

Ia lawatan pertama Ismail Sabri ke Sandakan dan Kinabatangan serta yang kedua ke Sabah selepas dilantik Perdana Menteri Kesembilan pada Ogos lalu.

Projek Lebuhraya Pan Borneo yang bakal dilancarkan Perdana Menteri di Dataran Tamu Pekan Kota Kinabatangan, bermula jam 10 pagi Sabtu membabitkan empat pakej kerja bagi laluan Kinabatangan-Sandakan-Beluran-Telupid.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata kontraktor bagi empat pakej kerja berkenaan iaitu WP15, WP28, WP29 dan WP30 baru saja dilantik.

Katanya, keempat-empat pakej kerja itu akan dilaksanakan serentak sejurus pelancarannya oleh Perdana Menteri dan dijangka siap pada 2024.

"Empat pakej ini antara pakej baharu projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

"Satu lagi pakej baharu ialah laluan di antara Serusop, Tuaran ke Pituru, Kota Belud yang dijangka dimulakan tahun depan menggunakan peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

"Dengan pelaksanaan lima pakej baharu ini, menjadikan 16 pakej kerja dilaksanakan setakat ini daripada 35 pakej keseluruhan dalam Fasa Satu Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata 11 pakej sedang dilaksanakan ketika ini kebanyakannya membabitkan laluan di pantai barat Sabah yang bermula dari Sindumin di sempadan Sarawak hingga ke Kudat di utara.

Katanya, kerja pembinaan bagi 11 pakej berkenaan berjalan lancar dengan pencapaian setakat ini pada tahap 54 peratus dan dijadual siap pada 2023.

"Untuk baki 19 pakej lagi, kita berharap ia dapat dilaksanakan serentak supaya tempoh penyiapannya dapat dipercepatkan," katanya.

Sementara itu, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, berkata pelaksanaan empat pakej Lebuhraya Pan Borneo laluan Kinabatangan-Telupid bakal menyelesaikan kerosakan jalan raya sedia ada yang menimbulkan rungutan pengguna selama ini.

"Projek ini akan menyelesaikan isu kerosakan yang kerap berlaku di jalan utama sedia ada terutama dari Batu 32 Sandakan menghala ke Telupid dan dari Batu 32 Sandakan menghala ke Kinabatangan," katanya.

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa Satu membabitkan jajaran Sindumin-Kota Kinabalu-Kudat di pantai barat dan Tawau-Batu 32 Sandakan di pantai timur serta Batu 32 Sandakan-Ranau di bahagian tengah Sabah dengan panjang keseluruhan 706 kilometer.

BHARIAN.

Tiada ulasan: