04 November 2021

Tze Yong lebih baik daripada Zii Jia

 Roslin anggap Tze Yong memiliki potensi besar bergelar jaguh dunia.

Roslin anggap Tze Yong memiliki potensi besar bergelar jaguh dunia.

KUALA LUMPUR: Bekas pemain nombor satu dunia, Roslin Hashim menyifatkan Ng Tze Yong sebagai aset penting buat skuad badminton negara dan perlu dijaga sebaiknya.

Katanya, pemain perseorangan lelaki berusia 21 tahun itu mempunyai potensi yang besar untuk bergelar jaguh dunia suatu hari nanti berdasarkan corak permainan yang dimilikinya.

Malah, Roslin juga melihat corak permainan Tze Yong lebih pelbagai jika dibandingkan dengan pemain nombor satu negara, Lee Zii Jia.

"Kalau dia dijaga dengan baik dan betul, saya rasa dia boleh pergi lebih jauh daripada Zii Jia," kata Roslin ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kelab Sukan dan Rekreasi syarikat pembekal alat pernafasan, House of Oxygen di Semenyih, Selangor, malam tadi.

Kelibat Tze Yong mula mencuri tumpuan ketika dia beraksi dalam saingan Piala Thomas di Aarhus, Denmark, bulan lalu apabila dia memberi tentangan sengit kepada pemain nombor tujuh dunia, Jonathan Christie sebelum tewas 21-14, 19-21, 16-21 ketika Malaysia tewas 0-3 di tangan Indonesia dalam aksi suku akhir.

Pemain berasal dari Johor itu tidak menoleh ke belakang lagi apabila dia cemerlang muncul naib juara Siri Antarabangsa Terbuka Czech sebelum muncul juara Cabaran Antarabangsa Terbuka Belgium, Sabtu lalu.

Kejuaraan di Belgium adalah gelaran ketiganya di peringkat senior selepas turut menjuarai Cabaran Antarabangsa Australia Selatan 2019 dan Terbuka Poland 2021.

Keputusan positif yang dilakar di Republik Czech dan Belgium menyaksikan kedudukan ranking dunianya melonjak ke tangga ke-68 berbanding ke-82 sebelum itu.

Diminta mengulas mengenai pencapaian yang dilakar Tze Yong itu, Roslin bagaimanapun mengingatkan peminat negara agar buat masa ini tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi ke atas pemain berkenaan.

"Walaupun dia juara di Belgium dan naib juara di Czech, namun itu sebenarnya adalah satu permulaan buat dia.

"Kita tidak boleh letak harapan tinggi, bagi dia menimba pengalaman dulu. Bagi dia jadi juara kejohanan bertaraf cabaran antarabangsa ini, itu yang paling penting," kata Roslin.

BHARIAN.

Tiada ulasan: