04 November 2021

Perpaduan ummah antara agenda muktamar PAS

 Takiyuddin pada sidang media menjelang Muktamar Tahunan PAS Ke-67 di Kuala Terengganu, Sabtu ini. - Foto NSTP/Zatul Iffah Zolkiply

Takiyuddin pada sidang media menjelang Muktamar Tahunan PAS Ke-67 di Kuala Terengganu, Sabtu ini. - Foto NSTP/Zatul Iffah Zolkiply

KUALA TERENGGANU: Perpaduan ummah antara agenda yang dibangkitkan PAS sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67 yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu ini.

Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata isu perpaduan ummah tetap menjadi keutamaan PAS seperti muktamar sebelum ini selari dengan tema muktamar kali ini iaitu 'Islam Menyatukan Ummah' meliputi orang Melayu Islam serta parti-parti yang mempunyai aspirasi sama.

"PAS kini berperanan sebagai pendamai UMNO dan BERSATU sehingga yang terkini dalam satu Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan, kita memainkan peranan untuk menyatukan ummah yang menjadi agenda Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan di sokong kepimpinan parti yang lain.

"Dalam PAS, agenda perpaduan memang jelas (dan) akan kita teruskan dan terjemahkan dalam pelan tindakan.

"Kita mahu perpaduan berlaku dalam negara kita (iaitu) yang pertama perpaduan ummah dalam kalangan orang Melayu (dan) parti-parti kemudian dalam kalangan parti-parti lain yang mempunyai aspirasi yang sama.

"Sebab itu kita tengok PAS bersama Perikatan Nasional (PN) (dan) dalam PN ada parti yang dianggotai oleh ahli-ahli dan kepimpinan bukan Islam dan dalam kalangan kerajaan kita, kerajaan PN (ketika ini) ada daripada PAS, UMNO sebagai tonggak dan BERSATU.

"Sudah tentu anggota Kabinet ada yang bukan Islam (dan) ini menunjukkan penyatuan ummah, kita ke arah itu (penyatuan ummah) yang didukung PAS, " katanya pada sidang media sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67 di sini hari ini.

Selain itu, Takiyuddin berkata, para perwakilan juga dijangka membawa isu nasional seperti kesihatan, pemulihan ekonomi, aspek sosial dan pelan pendidikan.

BHARIAN.

Tiada ulasan: