04 November 2021

Individu tidak divaksin antara punca peningkatan kes COVID-19 Jerman

 Orang ramai berdiri di sebelah papan tanda yang mengiklankan ujian pantas antigen COVID-19 yang boleh dijalani oleh penduduk Jerman secara percuma di Berlin. - Foto AFP

Orang ramai berdiri di sebelah papan tanda yang mengiklankan ujian pantas antigen COVID-19 yang boleh dijalani oleh penduduk Jerman secara percuma di Berlin. - Foto AFP

BERLIN: Jerman menyaksikan peningkatan ketara kes baru COVID-19 dengan angka mencecah 33,949 dalam tempoh 24 jam.

Angka dikeluarkan agensi kesihatan Robert Koch Institute (RKI) menyaksikan angka terbaru itu mengatasi rekod sebelum ini iaitu 33,777 pada 18 Disember 2020.

Barisan menteri menyalahkan kadar vaksinasi rendah di Jerman dengan hanya 66.9 peratus populasi sudah menerima vaksin lengkap setakat hari ini.

Profesional kesihatan berkata, mereka yang tidak divaksin mewakili majoriti kemasukan ke unit rawatan rapi dengan jumlahnya terus meningkat.

"Ketika ini, kita sedang berdepan pandemik individu tidak divaksin dan ia berlaku secara besar-besaran.

"Di beberapa wilayah di Jerman, katil di unit rawatan rapi semakin berkurangan," kata Menteri Kesihatan, Jens Spahn.

Lonjakan COVID-19 berlaku ketika Jerman berada dalam keadaan politik tidak stabil berikutan pilihan raya umum September lalu, dengan parti Demokrat Sosial yang menang berharap untuk mempunyai kerajaan campuran baharu pada awal Disember.

Parti gabungan yang akan datang setakat ini menolak suntikan mandatori dan berkata tidak akan melaksanakan perintah berkurung - sekurang-kurangnya tidak untuk mereka yang divaksinasi.

Namun, di bawah sistem persekutuan Jerman, negeri mempunyai kuasa untuk memutuskan pendekatan masing-masing.

Ketua kakitangan Angela Merkel, Helge Braun menggesa mesyuarat segera antara kerajaan sementara dan pemimpin 16 negeri Jerman untuk bersetuju dengan peraturan bersama.

Beberapa negeri, termasuk Baden-Wuerttemberg, Saxony dan Bavaria, telah pun bersetuju atau memperkenalkan sekatan yang lebih ketat terhadap mereka yang tidak divaksinasi. - AFP

Tiada ulasan: