04 November 2021

Perancis wajibkan semula pelajar sekolah pakai pelitup muka

 Gambar hiasan

Gambar hiasan

PARIS: Perancis mewajibkan pemakaian pelitup muka ke atas pelajar sekolah di 39 wilayah di negara itu, susulan lonjakan kes COVID-19 melepasi nilai ambang.

Sekolah di negara itu akan dibuka semula pada 8 November ini selepas cuti pendek, dengan peraturan pemakaian pelitup muka bagi sekolah rendah dikuatkuasa semula berikutan peningkatan kes harian baharu, lapor Agensi Anadolu, yang semalam memetik jurucakap kerajaan, Gabriel Attal.

Ia sekali gus menjadikan 61 wilayah di seluruh Perancis yang mengenakan peraturan sedemikian, tambahan kepada 22 wilayah yang sebelum ini mewajibkan pemakaian pelitup muka sejak bulan lalu.

Attal berkata, kadar jangkitan COVID-19 melebihi 50 kes seminggu bagi setiap 100,000 penduduk, mengakibatkan pihak berkuasa mewajibkan semula pemakaian pelitup muka di sekolah rendah.

Mengikut pekeliling sekolah yang diumumkan Kementerian Pendidikan Perancis, jika sesebuah wilayah mempunyai kadar jangkitan yang kurang daripada 50 kes bagi setiap 100,000 penduduk selama lima hari berturut-turut, pelajar sekolah rendahnya tidak perlu memakai pelitup muka.

Katanya, bagaimanapun sebaliknya jika jumlah kes meningkat maka prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang ditarik balik akan diaktifkan semula.

Menurut data terkini Kementerian Kesihatan Perancis, terdapat 10,050 kes baharu, 39 kematian dan 6,764 pesakit COVID-19 dimasukkan ke hospital. - AGENSI

Tiada ulasan: