04 November 2021

Sokong PN, hubungan PAS dengan UMNO tak terjejas

Idris (tengah) menyampaikan bantuan kepada seorang mangsa banjir di Dewan Sungai Kerang,Trong. p NSTP/SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Idris (tengah) menyampaikan bantuan kepada seorang mangsa banjir di Dewan Sungai Kerang,Trong. p NSTP/SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI

BUKIT GANTANG: Keputusan PAS menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini tidak akan menjejaskan hubungan parti itu dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN).

Naib Presidennya, Idris Ahmad, berkata penggunaan lambang PN pada PRN Melaka bukannya membawa maksud PAS melawan UMNO.

Beliau berkata, PAS masih mengutamakan perpaduan ummah menerusi kerjasamanya dengan UMNO dan BERSATU, malah terus memegang konsep menghadapi musuh yang sama iaitu Pakatan Harapan (PH) pada PRN Melaka nanti. 

"Soal gosip liar yang mengatakan PAS seolah-olah cuba menentang UMNO pada PRN Melaka itu adalah satu persepsi yang tidak betul," katanya selepas menyampaikan sumbangan bantuan Musa'adah Banjir kepada 127 penerima di Dewan Sungai Kerang di sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Trong, Jamilah Zakaria.

Sementara itu, ditanya jawatannya sebagai Naib Presiden PAS pada Muktamar PAS Sabtu ini, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan ahli parti membuat pemilihan sama ada mengekalkan dirinya atau memilih calon lain.

"Saya tidak pernah melobi bagi mendapat sebarang jawatan yang ada dalam parti termasuk pada pemilihan jawatan Naib Presiden PAS yang berlangsung minggu ini.

"Dalam PAS, sesiapa yang dipilih dan dilantik memegang sesuatu jawatan, itu menandakan akan menggandakan bebanan bakal digalas di bahunya.

"PAS berbeza daripada parti lain, sebarang jawatan dilantik bukan untuk meraih kesenangan, sebaliknya ini bermakna kita menggalas tugas dan amanah dipertanggungjawabkan", katanya.

Tiada ulasan: