04 November 2021

Harap larangan penjualan arak diperluas seluruh Perak

 

TELUK INTAN: Permasalahan arak bukan isu kecil dan ia perlu ditangani lebih-lebih lagi jika melibatkan umat Islam di mana PAS sejak dahulu tetap konsisten menentang penjualan arak secara terbuka dalam masyarakat.



Yang Dipertua PAS Kawasan Teluk Intan, Mohd Azhar Rafie menegaskan, arak bukan sahaja dilarang ke atas umat Islam, malah kesannya turut dirasai semua masyarakat dan boleh merosakkan seluruh institusi masyarakat dan negara.

Beliau memuji dan menzahirkan ucapan tahniah kepada warga Selama khususnya ADUN Selama, Ustaz Mohd Akmal Kamaruddin kerana berjaya membebaskan daerah tersebut daripada penjualan arak secara runcit bermula 2022.

“Usaha YB Ustaz Akmal melalui Majlis Daerah Selama (ini) adalah bertepatan dengan Seksyen 60 Enakmen Jenayah (Syariah) 1992 Negeri Perak yang menyatakan larangan orang Islam terlibat dengan arak sebagaimana berikut. 

“Mana-mana orang yang membuat, menjual, menghadiah, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa arak atau minuman yang memabukkan adalah satu kesalahan,” ujarnya memetik peruntukan undang-undang tersebut.

Justeru serunya, usaha menolak arak dan memastikan tidak ada pekerja Muslim teraniaya kerana dipaksa menguruskan arak adalah usaha memperjuangkan hak asasi umat Islam serta kesucian Islam itu sendiri.

Beliau yakin kejayaan dibuktikan di Selama dalam menangani isu penjualan arak ini pastinya akan menjadi pemangkin kepada kawasan-kawasan lain termasuk Teluk Intan untuk turut berusaha ke arah yang sama.

“Paling tidak sekurang-kurangnya (kita) berupaya mengeluarkan kelompok pekerja Muslim daripada terlibat dengan sektor minuman keras ini,” harap beliau. – HARAKAHDAILY 4/11/2021

Tiada ulasan: