04 November 2021

AS senaraikan Indonesia destinasi berisiko rendah

BALI. FOTO AFP
BALI. FOTO AFP

Jakarta: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) menyenaraikan Indonesia sebagai destinasi berisiko rendah.

Agensi itu menggunakan data Covid-19 yang dilaporkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan sumber rasmi lain untuk membuat penentuan mengenai tahap notis kesihatan perjalanan.

 "Pastikan anda sudah lengkap divaksin sebelum melancong ke Indonesia," kata CDC di laman sesawangnya, sambil menambah bahawa pengembara yang lengkap vaksin Covid-19 kurang berisiko mendapat jangkitan dan menularkannya.

Agensi itu menetapkan empat tahap dalam mengesyorkan kesihatan perjalanan Covid-19, dengan tahap satu dianggap rendah.

Ia diikuti tahap dua (sederhana), tahap tiga (tinggi) dan tahap empat (sangat tinggi).

CDC, bagaimanapun, menasihatkan perjalanan antarabangsa mengenai risiko tambahan yang mungkin timbul, malah pengembara yang lengkap vaksin mungkin berisiko lebih tinggi untuk dijangkiti dan menyebarkan beberapa varian Covid-19.

"Elakkan perjalanan antarabangsa selagi anda belum lengkap divaksin. Jika masih belum menerima vaksin lengkap, anda perlu mematuhi beberapa cadangan tambahan sebelum, semasa dan selepas perjalanan."

Warga AS juga dinasihatkan untuk mengikuti saranan atau peraturan yang ditetapkan di Indonesia, termasuk memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

BERNAMA.

Tiada ulasan: